KUALA LUMPUR – Padah menghina Nabi Muhammad SAW melalui laman sosial Facebook dua tahun lalu, seorang penggangur didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim M.M Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman denda terhadap Mohd. Zahrein Zakariah, 39, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang disabitkan.
Mahkamah turut memerintahkan Mohd. Zahrein menjalani tambahan hukuman penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan, sekiranya gagal membayar denda itu dan OKS membayarnya.
Mohd. Zahrein selaku Orang Kena Saman (OKS) kemudian membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Zahrein didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, melalui aplikasi Facebook menggunakan nama profil “Semar Tilem”.
Kedua-dua hantaran itu dibaca di UTC Keramat Mall, Jalan Datuk Keramat, di sini, pukul 11 pagi, pada 8 Mei 2019.
Berikutan itu pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, OKS dalam rayuannya menerusi peguam L A Gomes memohon dikenakan hukuman denda ringan dengan alasan sudah insaf selain berjanji tidak akan memuat naik hantaran bersifat jelik di masa akan datang.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad membantah rayuan itu dan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat . K! ONLINE.