LONDON – Sebuah flat tanpa tandas dan bilik tidur berukuran 8.3 meter per segi di London bakal dipasarkan dengan harga permulaan £150,000 (RM859,833), lapor akhbar Daily Mail, kelmarin.
Flat tersebut terletak di Princes Court, Knightsbridge iaitu antara kawasan kediaman mewah di London dengan sebuah rumah dijual pada harga purata £3.3 juta (RM18.9 juta).
Kedudukannya dianggap strategik kerana menghadap gedung beli belah berprestij, Harrods dan Taman Hyde yang sering menjadi tumpuan pelancong dunia.
Flat tersebut akan dipasarkan pada 31 Mac ini pada harga permulaan RM859,838 dengan kerja-kerja pengubahsuaian sedang giat dilakukan secara besar-besaran.
Menurut tinjauan, pembeli boleh mendapatkan rumah dua bilik dilengkapi taman di Portsmouth, Chorley atau Loughborough pada harga sama.
Firma jualan hartanah, Knight Frank berkata, flat itu mematuhi semua peraturan yang ditetapkan dan dilengkapi sistem pemanas serta harga yang ditawarkan termasuk dalam caj perkhidmatan.
Seorang jurucakap berkata, piawaian minimum yang dinyatakan hanya relevan untuk keizinan pembinaan di London bagi pembangunan kediaman baharu dan hartanah yang dibina selepas 2011.
“Hartanah di Princes Court pada awalnya disewa pada 1976 dan digunakan sebagai tempat tinggal sebelum standard ruang minimum berkuat kuasa,” katanya.
Penyenaraian hartanah itu diselar oleh ahli parlimen Britain yang menyifatkannya sebagai kejam kerana harga yang tidak masuk akal memandangkan ia tidak mempunyai tandas mahupun bilik tidur. – Agensi