GERIK – Empat penjawat awam di sebuah institut pengajian tinggi (IPT) di Tanjung Malim antara 11 lelaki yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan perburuan haram di kawasan ladang kelapa sawit dekat Lata Kekabu, Lenggong di sini semalam.
Kesemua mereka berusia antara 13 hingga 52 tahun itu diberkas dalam Op Khazanah oleh Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pukul 6.30 petang.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kesemua suspek yang ditemui dalam kedaaan mencurigakan itu ditahan ketika hendak keluar dari kawasan berkenaan.
Menurut beliau, semasa ditahan, tiada senjata dijumpai bersama kumpulan itu kerana telah dileraikan dan disimpan di dalam beg.
Bagaimanapun katanya, pemeriksaan lanjut ke atas mereka menjumpai dua laras senapang patah dan empat laras pemanah ikan serta beberapa peralatan untuk memburu.
“SSenapang patah yang dirampas itu dalam milikan seorang lelaki berusia 52 tahun, namun dia mengaku tidak memiliki lesen senjata api, sebaliknya senjata itu dipinjam daripada rakan untuk memburu.
“Empat pemanah ikan yang dirampas itu pula buatan sendiri bagi tujuan untuk memanah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik di sini hari ini.
Menurut Mior Faridalathrash, semasa tangkapan dibuat, polis turut menjumpai tiga plastik putih mengandungi bahagian daging disyaki daging hidupan liar.
Katanya, rampasan daging itu telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Hulu Perak untuk tindakan lanjut.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek masuk ke kebun kelapa sawit itu untuk berburu dan memanah ikan dan mereka akan bermalam di kawasan tersebut. Kumpulan itu juga didapati aktif berburu sejak dua bulan lalu,” katanya.
Tambah beliau, dua remaja berusia 13 dan 16 tahun yang mengikut bapanya berusia 52 tahun serta seorang lagi berusia 18 tahun ditahan selama sehari dan dibebaskan dengan jaminan hari ini.
Lapan lelaki lain pula direman empat hari mulai hari ini hingga Khamis depan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 7 Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. – K! ONLINE