JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita yang disyaki terlibat dalam kejadian membaling molotov cocktail ke arah sebuah rumah di kawasan Taman Cahaya Masai, Pasir Gudang, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kedua-dua suspek berusia 28 dan 30 tahun ditahan dalam serbuan pukul 11.30 malam itu di sebuah rumah di kawasan Taman Puteri Wangsa Ulu Tiram, di sini.
Katanya, suspek dipercayai membaling molotov cocktail ke arah sebuah rumah lelaki hingga menyebabkan bahagian hadapan rumah dan kenderaan mangsa telah terbakar dalam kejadian pukul 9 malam, 4 Mac yang lalu.
“Aduan telah dibuat oleh mangsa berusai 30-an dan siasatan yang dijalankan membawa kepada penahanan dua suspek berkenaan.
“Dalam serbuan tersebut, polis merampas pelbagai barangan yang dipercayai digunakan bagi melakukan kegiatan itu antaranya dua tong plastik, sebuah botol plastik, sebuah botol aluminium, corong plasitk serta sebuah kereta jenis Toyota Vios,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sohaimi berkata, semakan rekod lampau mendapati suspek lelaki mempunyai tiga rekod jenayah dan satu rekod jenayah dadah manakala suspek wanita mempunyai satu rekod jenayah.
Katanya, pemeriksaan ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah.
“Siasatan awal mempercayai kedua-dua suspek turut terlibat dengan beberapa kes lain melibatkan jenayah baling molotov cocktail dan baling cat di sekitar Seri Alam.
“Kedua-dua suspek diupah dengan kadar bayaran tertentu oleh pemberi pinjaman wang tidak berlesen bagi melakukan perbuatan jenayah yang dilakukan bermotifkan tuntutan hutang kepada mana-mana pihak,” jelasnya.
Katanya, suspek lelaki ditahan reman selama enam hari bermula bermula hari ini hingga Sabtu manakala wanita itu direman selama tiga hari bermula hari ini hingga Rabu ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE