fbpx

K2

Dedah kehidupan sebenar sebagai jurutera petroleum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CEMPAKA berjaya membuktikan golongan wanita juga mampu berkecimpung dalam sektor minyak dan gas.

HAMPIR setiap minggu, gadis berusia 29 tahun ini akan meluangkan masa di hadapan komputer riba selama beberapa jam untuk berkomunikasi dengan mahasiswi yang dikenalinya di media sosial.

Popular dalam kalangan pelajar-pelajar jurusan kejuruteraan petroleum, pemilik nama Lim Chia Wei seringkali dijadikan tempat rujukan bagi mereka yang masih tercari-cari arah kerjaya untuk diceburi sebaik menamatkan pengajian di menara gading.

Berkhidmat di sebuah syarikat minyak dan gas (O&G) terkenal antarabangsa dan pernah bekerja di Oman dan Thailand selain negara kelahirannya sendiri lebih lima tahun, dia yang lebih senang dipanggil Cempaka menggunakan pengalaman tersebut bagi memberi pendedahan realiti sebenar bekerja dalam bidang itu.

Ini memandangkan kerjaya ini sering dianggap lasak dan disalah tafsir oleh masyarakat yang beranggapan O&G hanyalah untuk golongan lelaki.

Lantaran itu, Cempaka menggunakan media sosial Instagram miliknya, @cempaka.l sebagai platform menyampaikan maklumat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dilaksanakan awal tahun lalu.

Bermula dengan perkongsian kaedah menulis resume yang menarik dan tip persediaan untuk temu duga menerusi IG live, siapa sangka wanita ini kini menjadi rujukan para pelajar hingga ke hari ini.

Rata-rata pelajar mengagumi semangat wanita ini kerana biarpun menceburi bidang dimonopoli golongan lelaki, namun imej yang dibawanya membuatkan pelajar-pelajar yakin bahawa wanita juga boleh menceburkan diri dalam sektor tersebut.

CEMPAKA memulakan perkongsian realiti pekerjaan sebagai jurutera petroleum bermula PKP pertama pada tahun lalu.

“Sudah tiba masanya untuk saya ‘menyumbang’ semula kepada masyarakat dan pelajar-pelajar yang mengambil jurusan ini.

“Sewaktu PKP, saya mempunyai banyak masa terluang dan kemudian mula membuat perkongsian di IG live. Tidak sangka ia mendapat sambutan hangat dalam kalangan pengikut terutamanya golongan pelajar,” jawabnya tatkala ditanya mengapa dia memulakan perkongsian tersebut.

Merupakan pelajar kelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Petroleum daripada Universiti Teknologi Petronas, anak kedua daripada empat beradik itu berkata, sejak kecil lagi dia sudah didedahkan dengan dunia O&G.

“Ayah merupakan individu yang bertanggungjawab mendedahkan saya dengan dunia ini.

“Membesar sebagai seorang gadis yang lasak, sejak kecil lagi saya aktif dan mewakili negeri dalam sukan renang dan permainan ping pong. Jadi ayah merasakan kerja-kerja di pejabat tidak sesuai untuk saya.

“Meskipun ayah bukanlah bekerja dalam bidang ini, tetapi sejak kecil lagi dia sering menunjukkan saya gambar pelantar minyak menerusi kaca televisyen.

“Justeru, sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia, saya menyasarkan untuk melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Malaysia atau Universiti Teknologi Petronas kerana kedua-duanya merupakan universiti yang menawarkan jurusan Kejuruteraan Petroleum,” katanya.

Ternyata tuah begitu menyebelahi dirinya apabila sebaik tamat pengajian, wanita yang lebih senang disapa Cempaka itu diambil bekerja sebagai Production Engineer di sebuah syarikat O&G terkemuka tanah air.

“Disebabkan ini merupakan kerjaya impian bapa, sudah tentu dia gembira apabila mengetahui perkhabaran ini.

“Mereka juga tidak kisah kerana tahu saya memang lasak dan sepanjang berkecimpung dalam bidang ini, merekalah yang banyak memberi sokongan,” katanya.

Ditempatkan di bawah jabatan produksi, Cempaka dipertanggungjawabkan untuk mencari penyelesaian bagi telaga di dasar laut yang tidak boleh mengeluarkan minyak.

Pada waktu itu, Cempaka diibaratkan seperti doktor kerana pasukannya perlu mengkaji dan menyelesaikan masalah telaga minyak yang majoritinya berusia lebih 40 tahun untuk mengembalikan penghasilan minyak.

Mahu memperbetulkan persepsi dan memberi gambaran sebenar kepada mahasiswi yang bakal menceburkan diri di dalam sektor tersebut, kongsi Cempaka lagi, bukan sekadar memerlukan segulung ijazah, sikap dan minat sangat diperlukan untuk berjaya dalam bidang itu.

“Bagi saya, kemahiran boleh dibina bila-bila masa sahaja kerana semua orang bermula dari bawah. Tetapi apa yang paling penting adalah sikap dan keinginan untuk belajar.

“Ini kerana, jika tidak minat dalam sesuatu benda, susah untuk berjaya memandangkan pekerjaan ini sangat mencabar. Lebih-lebih lagi ia merupakan bidang teknikal.

“Daripada minat itulah yang akan membuatkan seseorang menjadi kental dan sentiasa mara ke hadapan walau apa sahaja cabaran yang mereka hadapi,” terangnya.

Biarpun bekerja dalam bidang yang dimonopoli lelaki, namun Cempaka bersyukur kerana dikelilingi insan-insan yang sangat membantu.

LEBIH lima tahun menjadi jurutera petroleum, Cempaka pernah bertugas di Thailand dan Oman, selain Malaysia.

Malah akuinya, tiada isu berhubung perbezaan jantina dibagkitkan sebaliknya rakan sekerjanya banyak membantu sepanjang dia berkecimpung dalam bidang tersebut.

“Ramai sahaja wanita berkarisma dan hebat yang ditemui dalam bidang ini.

“Semangat saya semakin membara tatkala melihat bagaimana mereka membawa diri.

“Dari segi keselamatan pula, prosedur mengenainya sudah dipertingkatkan jika dibandingkan dengan zaman dahulu dan semua pekerja mengenakan alat pelindung diri apabila keluar bekerja selain perlu patuh pada SOP (prosedur operasi standard) ditetapkan bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Menjadikan Michelle Obama yang merupakan penyokong kesamarataan jantina yang memperjuangkan pendidikan serta pemerkasaan wanita dalam mengejar impian masing-masing, itu merupakan antara misi Cempaka setiap kali melakukan perkongsian di IG live bersama mahasiswi.

“Saya sentiasa menyuruh mereka untuk mengejar impian dan jangan berputus asa dengan cakap-cakap orang sekeliling.

“Mereka perlu berjuang dengan apa yang diimpikan dalam hidup. Dalam perkongsian ini juga, saya mahu semua orang tahu bagaimana saya yang merupakan anak kampung boleh pergi jauh dengan dan berkat doa serta sokongan ibu bapa,” tegasnya.

Berkongsi lanjut, Cempaka menegaskan, sektor O&G adalah satu bidang yang sangat luas dan individu boleh mempelajari serta menerokai pelbagai cabang yang diinginkan.

Dibayar dengan gaji dan elaun yang agak tinggi, habuan tersebut bagaimanapun setimpal dengan risiko dan pengorbanan yang perlu dihadapi sepanjang bekerja.

“Kerja di tengah laut yang mana apabila tiba musim monsun, laut akan bergelora. Itu antara risiko yang perlu dihadapi kami yang bekerja dalam sektor ini.

“Bagaimanapun, bagi saya, ia adalah pengalaman yang amat berharga kerana menjadikan diri saya lebih kental. Lama-kelamaan kita akan biasa juga dengan keadaan itu,” kongsinya.

Berazam untuk menyertai pucuk pimpinan tertinggi dalam syarikat O&G suatu hari nanti, Cempaka mahu terus menyokong pendidikan dan meningkatkan kualiti hidup anak kampung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI