LEEDS – Chelsea mensia-siakan peluang untuk memperbaiki kedudukan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila sekadar seri tanpa jaringan menentang Leeds United di Elland Road malam kelmarin.
Pada perlawanan tersebut, kedua-dua pasukan menampilkan corak permainan lebih terbuka selain saling mengancam pintu gol masing-masing.
Bagaimanapun, pengurus Chelsea, Thomas Tuchel mengakui gembira dengan aksi yang ditampilkan barisan pemainnya meskipun gagal membawa pulang tiga mata ke Stamford Bridge.
“Secara keseluruhan, saya gembira kerana bukan mudah bertemu pasukan seperti Leeds yang sentiasa beri tekanan sepanjang perlawanan. Saya fikir keputusan ini adil untuk kedua-dua pasukan.
“Sudah tentu saya mahukan kemenangan tetapi tuah tidak memihak kepada kami. Saya lihat pemain-pemain kecewa dengan keputusan ini, jadi itu satu petanda yang baik,” kata Tuchel.
Pada masa sama, beliau juga percaya keadaan padang yang kurang memuaskan turut memberi kesan terhadap permainan The Blues selain ketumpulan jentera serangan.
“Keadaan padang yang tidak bagus mempengaruhi permainan kedua-dua pasukan. Bagaimanapun, ia bukan alasan untuk jentera serangan menampilkan penyudah yang lebih tajam,” ujarnya. – AGENSI