fbpx

Ancaman gajah liar berulang musnahkan tanaman penduduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua orang penduduk Orang Asli suku kaum Bateq di Kampung Aring 5, Gua Musang menunjukkan pokok pisang yang diusahakan mereka dimusnahkan gajah liar.

GUA MUSANG – Masyarakat Orang Asli suku kaum Bateq di Kampung Aring 5 di sini resah dengan kehadiran gajah liar yang memusnahkan kawasan kebun mereka setiap tahun.

Penghulu Kampung Aring 5, Raina Anjang berkata, ancaman gajah itu berlaku sejak lima tahun lalu apabila kebun yang diusahakan dengan tanaman pokok pisang dan getah milik penduduk menjadi mangsa hingga menyebabkan kerugian puluhan ribu ringgit.

Terbaharu, gajah berkenaan kembali menyerang tanaman sehingga mencetuskan kebimbangan penduduk sejak seminggu lalu.

“Gajah liar aktif pada waktu malam dan dalam tempoh sebulan hingga tiga bulan sekali, pasti akan ada kes kerosakan tanaman terutamanya pisang milik penduduk.

“Keadaan itu menyebabkan penduduk juga sukar melakukan aktiviti tanaman di kawasan masing-masing ekoran tanaman kerap dirosakkan gajah,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Aring 5 di sini hari ini.

Seorang penduduk, Syaimi Hek @ Ab Hadi, 40, pula berkata, sudah berulang kali tanaman yang diusahakan penduduk dimusnah sekumpulan gajah liar dan mereka berputus asa untuk meneruskan semula tanaman itu.

“Apabila baru hendak memperoleh hasil daripada tanaman pisang, namun dimusnahkan gajah liar itu lebih awal hingga menanggung kerugian.

“Masalah itu sudah beberapa kali dilaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), namun segala tindakan kawalan yang dijalankan masih belum menunjukkan hasil,” katanya. K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI