PETALING JAYA – Seramai 2,506 warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 dan daripada jumlah itu, dua orang didapati positif dalam pemeriksaan yang dilakukan semalam.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkatra, secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 618,486 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 yang melibatkan 32,002 majikan.
“Daripada jumlah itu, seramai 9,701 orang telah disahkan positif Covid-19 manakala 608,785 lagi adalah negatif.
“Sehingga kini, sebanyak 1,522 buah klinik telah terlibat dengan program saringan ini,” jelasnya melalui satu kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi.
Tambah Ismail Sabri, seperti yang telah diumumkan, ujian saringan Covid-19 adalah diwajibkan kepada semua pekerja warga asing mulai 1 Februari 2021. – K! ONLINE