PUTRAJAYA – Seramai 11.7 juta penduduk di negara ini meliputi 3.9 juta tempat kediaman sudah dibanci setakat semalam.
Pesuruhjaya Banci 2020, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, jumlah itu bersamaan 36 peratus berbanding anggaran 32.7 juta penduduk tahun lalu.
Beliau berkata, berdasarkan respons terkini Banci Malaysia 2020, penduduk di Putrajaya mencatatkan bilangan penduduk tertinggi iaitu sebanyak 96.2 peratus diikuti Johor (53.4 peratus), Perak (51.2 peratus) dan Perlis (49.6 peratus).
“Bilangan terendah dicatatkan di Sabah (14.3 peratus), Labuan (20.2 peratus) dan Sarawak (21.7 peratus).
“Selebihnya ialah Melaka (44.0 peratus), Kelantan (43.0 peratus), Pulau Pinang (42.3 peratus), Negeri Sembilan (41.7 peratus), Terengganu (41.4 peratus), Selangor (34.4 peratus), Kedah (33.1 peratus), Kuala Lumpur (32.7 peratus) dan Pahang (26.4 peratus),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam taklimat Status Banci Malaysia 2020 secara bersemuka dan dalam talian di Facebook Jabatan Perangkaan hari ini.
Mohd. Uzir berkata, penduduk tertinggi mengikut etnik adalah Melayu sebanyak 61.4 peratus, diikuti Cina (24.3 peratus), Bumiputera lain (7.4 peratus), India (6.2 peratus) dan lain-lain (0.6 peratus). -K! ONLINE