IPOH – Terengganu FC meneruskan kecemerlangannya dalam kancah Liga Super apabila menumpaskan Perak FC 2-0 di gelanggang lawan di Stadium Perak sebentar tadi.
Jaringan Muhammad Faisal Abdul Halim dan Dechi Marcel Nguessen mencukupi buat anak buah Mohd. Nafuzi Zain merakam kemenangan ketiga berturut-turut setakat ini.
Apapun pelawat berhak untuk menang kerana mempamerkan permainan kemas dan teratur serta memiliki penyudah lebih baik.
Terengganu FC mendapat dua peluang pada tiga minit pertama perlawanan melalui Jordan Mintah tetapi pemain itu gagal memberikan jaringan kepada pasukannya.
Kelincahan Muhammad Faisal ternyata menjadi apabila berjaya melepasi kawalan dan hadangan pemain pertahanan Perak FC untuk mencipta beberapa peluang.
Jelas anak buah Mohd. Nafuzi Zain berjaya mengawal perlawanan sebaliknya pintu gol Perak pula yang bolos apabila Muhammad Faisal meledak gol Terengganu pada minit ke-24.
Perak FC bangkit selepas itu tetapi beberapa peluang diperolehi gagal disudahkan oleh Guilherme De Paula, Raianderson Da Costa dan Farhan Roslan.
Corak babak kedua berubah dengan Perak FC bangkit mengasak menyebabkan Terengganu FC terpaksa berkampung.
Bagaimanapun segala usaha Perak FC gagal membuahkan hasil sebaliknya Terengganu FC yang menambah derita tuan tumah melalui jaringan cantik dari jarak jauh Nguessen pada minit ke-91. – K! ONLINE.