SUBANG JAYA – Polis menahan 17 individu yang disyaki menjalankan kegiatan sindiket penipuan pinjaman wang dalam satu serbuan di sebuah premis di Taman Puchong Prima, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd. khalid Othman berkata, bertindak atas maklumat bersabit Ops Seagull, polis telah menahan kesemua suspek terdiri daripada lapan lelaki dan sembilan wanita berusia 18 hingga 37 tahun.
Katanya, pihaknya turut merampas 35 unit telefon bimbit pelbagai model dan sembilan unit komputer riba atau komputer peribadi.
“Sindiket ini didapati aktif sejak empat bulan lalu dengan mengiklankan pinjaman wang melalui laman sosial seperti Facebook atau WhatsApp.
“Apabila individu yang terpanggil untuk membuat pinjaman ini memohon, mereka akan minta maklumat peribadi dan biasanya pinjaman ini lebih kepada pinjaman bernilai antara RM200 hingga RM1,000 dan sasaran mereka adalah peniaga-peniaga kecil,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya hari ini.
Pada masa sama juga katanya, sekiranya peminjam gagal membayar balik pinjaman itu, sindiket tersebut akan mengganggu peminjamnya.
“Kita turut dapati ada juga pinjaman-pinjaman tidak wujud dibuat di mana peminjam yang memohon pinjaman akan dimaklumkan oleh sindiket ini bahawa wang telah dimasukkan tetapi sebenarnya tiada, dan akhirnya peminjam akan diminta untuk membuat bayaran semula.
“Justeru itu, di sini saya menyeru masyarakat yang terlibat untuk tampil ke hadapan membuat laporan polis untuk membantu kita menyelesaikan isu-isu ini,” ujarnya. – K! ONLINE