SUBANG JAYA – Polis merampas sebatang kayu yang dipercayai turut digunakan oleh suspek untuk membunuh seorang wanita warga Indonesia di Pangsapuri Angsana USJ, di sini Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd. Khalid Othman berkata, hasil bedah siasat mendapati kecederaan mangsa berusia 54 tahun itu tidak setimpal dengan keterangan awal suspek.
“Sehingga kini, doktor percaya ada senjata lain yang digunakan tapi dipercayai senjata tumpul dan setakat ini kita ada membuat rampasan satu batang kayu yang kita percaya digunakan suspek.
“Untuk barang kemas kita dah dapat semula termasuk sebiji anting-anting yang dijumpai di tempat kejadian yang kita percayai semasa hentakkan itu, telah terpelanting,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, hari ini.
Katanya, sehingga kini siasatan masih dijalankan termasuk untuk mengetahui sama ada suami kepada suspek utama itu terlibat atau tidak.
“Polis juga akan mengemukakan permohonan sambung reman terhadap kedua-dua suspek yang ditahan memandangkan reman mereka tamat esok,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang pembuat kuih warga Indonesia tergamak membunuh rakan senegaranya dengan cara menghentak kepala mangsa di lantai sehingga mati sebelum menyorokkan mayat mangsa di bawah katil bagi melangsaikan hutang dalam satu kejadian di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya pada Isnin lalu. – K! ONLINE