fbpx

Penyudah tajam kunci kejayaan UniKL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PAVANDIP (tengah) berjaya meledak satu gol buat UniKL dalam kemenangan 4-2 ke atas THT di Stadium Hoki Nasional sebentar tadi. - MHC

KUALA LUMPUR – Juara bertahan, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berjaya merakam kemenangan pertama dalam kempen Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini selepas menewaskan pencabar utama, Pasukan Hoki Terengganu (THT) 4-2 sebentar tadi.

Kemenangan sememangnya berhak menjadi milik UniKL berdasarkan corak permainan dan disiplin tinggi ditunjukkan setiap pemain skuad juara Piala Sumbangsih tersebut sepanjang aksi di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil itu.

Ketua jurulatih UniKL, Megat Azrafiq Megat Termizi gembira dengan peningkatan positif dipamerkan para pemainnya berbanding prestasi ditunjukkan ketika seri tanpa jaringan dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada aksi pertama, Jumaat lalu.

“Setiap perancangan kami menjadi hari ini. Pemain juga sudah memberikan aksi sehabis baik dan memperbaiki segala kesilapan sewaktu perlawanan pertama sebelum ini.

“Penyudah melalui pukulan sudut penalti juga tajam dan bahagian pertahana masih dapat mengekalkan struktur yang baik walaupun bolos dua gol hari ini.

“Jadi, saya harap para pemain sudah memahami apa yang pasukan mahukan dan meneruskan momentum semasa untuk perlawanan-perlawanan seterusnya,” katanya selepas tamat perlawanan sebentar tadi.

Ketajaman penyudah pukulan sudut penalti ternyata merupakan kelebihan utama UniKL apabila berjaya meledak tiga gol tersebut menerusi dua jaringan Muhammad Razie Abd. Rahim dan satu daripada Pavandip Singh Gurdip Singh.

Penguasaan permainan yang ditunjukkan juara treble musim lalu itu sekali lagi berjaya membuahkan hasil apabila mendapat gol keempat melalui jaringan padang hasil gerakan solo Mohamad Sukri Abdul Mutalib pada minit ke-42.

THT yang dikendalikan K. Rajan mempamerkan kebangkitan lewat permainan melalui dua gol daripada Mohamad Akhimullah Anuar Esook dan Muhammad Arif Syafie Ishak, namun ia masih belum cukup buat mereka dalam perlawanan tersebut.

Sementara itu, Muhammad Najmi Farizal Jazlan muncul wira Maybank apabila meledak gol tunggal perlawanan menewaskan Universiti Teknologi Mara (UiTM) 1-0 dalam satu lagi aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional sebentar tadi. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI