fbpx

Pahang rekod kutipan hasil melepasi sasaran RM847.3 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (tengah) menyampaikan cek sumbangan usahawan kepada penerima di RTP Sungai Ular di Lipis hari ini.

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD

LIPIS – Kerajaan negeri berjaya merekodkan kutipan hasil yang memberangsangkan pada tahun lalu iaitu sebanyak RM847.3 juta, melepasi sasaran sebanyak RM703.8 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejayaan kutipan hasil berkenaan adalah atas komitmen pelbagai pihak dalam mengeksploit sumber kekayaan negeri dengan sebaik mungkin.

“Sehubungan itu usaha berterusan akan dilakukan bagi mengeksploit sumber kekayaan negeri dalam mencapai sasaran hasil RM1 bilion dalam tempoh beberapa tahun lagi.

“Dengan hasil sebanyak itu pasti banyak lagi yang boleh kerajaan negeri lakukan demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat,”katanya ketika berucap pada majlis penyerahan kedai Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) Rancangan Tanah Pemuda (RTP) Sungai Ular di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, RTP Sungai Ular merupakan kawasan penempatan yang ditadbir oleh PKPP sejak 1971 lagi dan menunjukkan kemajuan berterusan.

Katanya, pada masa ini kawasan penempatan tersebut lengkap dengan pelbagai kemudahan asas seperti jalan, bekalan air dan elektrik, masjid, balai raya, dewan dan pusat internet.

“Saya melihat beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti ini dapat memainkan peranan menjadikan kampung tradisi terpencil sebagai kampung angkat yang dapat dimajukan.

“Saya yakin melalui pengalaman pengurusan dalam pelbagai bidang dan kekuatan kewangan syarikat GLC ini mampu membimbing penduduk menjalani kehidupan yang lebih baik,”ujarnya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI