LEIPZIG – Ketua jurulatih RB Leipzig, Julian Nagelsmann menepis spekulasi mengaitkan namanya sebagai calon terbaik mengendalikan dua gergasi Eropah, Bayern Munich dan Barcelona pada masa depan.
Khabar angin di Jerman mula bertiup kencang mengaitkan Nagelsmann menggantikan Hansi Flick jika ketua jurulatih Bayern Munich itu mengisi kekosongan ditinggalkan Joachim Low bersama skuad antarabangsa Jerman selepas tamat Kejohanan Euro bermula Julai depan.
Dalam masa sama, nama Nagelsmann, 34, turut dikatakan menjadi calon utama presiden baharu Barcelona, Joan Laporta yang bersedia untuk memulakan era baharu bersama The Catalan dengan memecat Ronald Koeman.
Ia ekoran persembahan mengecewakan Koeman yang menyaksikan Barcelona tersingkir seawal pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara musim ini selain ketinggalan enam mata di belakang pendahulu La Liga, Atletico Madrid.
Bagaimanapun, Nagelsmann menempelak dakwaan itu dengan menganggap ia sebagai sesuatu yang kurang sopan dan tidak menghormati Bayern dan Barcelona memandangkan Flick serta Koeman masih lagi bergelar jurulatih kedua-dua kelab tersebut.
“Saya sudah ‘masak’ dengan lumrah dunia bola sepak ini. Saya tidak mahu memberikan apa-apa kenyataan berhubung isu ini kerana tidak mahu menjadi seorang yang tidak sopan,” katanya.
Sebaliknya, Nagelsmann lebih berminat menumpukan fokus untuk bangkit bersama Leipzig selepas tersingkir pada pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara kepada Liverpool dengan agregat 4-0 baru-baru ini.
“Kami berada pada landasan tepat untuk kembali ke Liga Juara-Juara musim depan. Ia bukan alasan untuk kami tidak mencatat kemenangan dalam aksi Bundesliga,” jelasnya yang akan menanti kunjungan Eintracht Frankfrut malam ini. – AGENSI