LONDON – Pengurus Tottenham Hotspur, Jose Mourinho memulakan perang psikologi menjelang aksi bertemu seteru setempat, Arsenal pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dengan mengatakan skuad The Gunners bukanlah pencabar pasukannya.
Sebagai rekod, Spurs ketika ini berjaya meraih 45 mata berbanding Arsenal yang ketinggalan dengan 38 mata selepas mengharungi 28 perlawanan EPL musim ini.
Kata Mourinho, skuad kendalian Mikel Arteta tidak layak untuk digelar pencabar bagi pasukannya dalam merebut slot automatik ke saingan Liga Juara-Juara Eropah musim ini dan lebih berminat untuk fokus dengan kedudukan pasukan di atas liga.
“Saya hanya melihat kedudukan pasukan lawan di atas kami dan Arsenal ketinggalan tujuh mata berbanding pasukan Spurs. Justeru, saya tidak mahu melabel mereka sebagai pencabar utama dalam merebut slot ke Eropah musim ini.
“Bagaimanapun, saya akui pertemuan menentang Arsenal nanti tetap menjadi aksi penting buat pasukan kami dan saya harap momentum kemenangan yang kami peroleh sejak beberapa perlawanan lepas dapat diteruskan,” kata pengendali kelahiran Portugal itu.
Sementara itu, kapten pasukan Spurs, Hugo Lloris percaya hanya kemenangan ke atas Arsenal boleh menyuntik kembali semangat pasukan dalam memburu kedudukan empat pasukan terbaik selepas beraksi hambar pada saingan pertengahan musim sebelum ini.
“Momentum pasukan kali ini agak turun dan naik kerana pada saingan awal musim, kami berada di puncak sebelum kemerosotan prestasi. Namun, sejak beberapa perlawanan lepas, kami mula mendapat keyakinan dan saya harap pemain dapat buktikan mereka terus serius dengan meraih tiga mata bertemu Arsenal nanti,” katanya.
– AGENSI