fbpx

MK, apabila ‘bad boy’ dekati tabligh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MK

KENDATIPUN setinggi gunung dibelai kemanisan hidup atau terperosok sedalam-dalamnya dihempap dugaan, sebagai makhluk di langit atau di bumi, ada satu supremasi (kuasa) yang tidak mampu dilawan iaitu Tuhan.

Berbunyi sungguh kerohanian, namun sejauh mana pun penafian anda yang sedang meminjamkan perhatian membaca nukilan ini termasuk penulis sendiri, itulah fitrah yang tidak boleh disangkal.

Untuk seseorang Muslim, teman paling rapat, paling memahami bukanlah manusia seperjuangan tetapi barangkali, sehelai sejadah boleh dijadikan kenderaan ‘berbicara’. Di situ letaknya perkongsian paling afdal.

Itu juga intonasi bicara susuk yang dikenali dengan nama pentas MK atau nama lengkapnya, Muhammad Hairi Amri Hamdan.

Sering dijentik teguran khalayak dalam gelanggang media sosial yang tidak bersetuju dengan penampilannya sering menggayakan emas sebagai eksesori kegemarannya, dia tidak melenting.

MENURUT MK, media sosial hanya tempat dan pilihan kita untuk berkongsi apa yang mahu ditonjolkan atau perlu orang sedari. Tak semua perkara tentang diri kita ada dalam Instagram. – MUHAMAD IQBAL ROSLI

Jahil, toksik

Seperti kebanyakan individu lain, MK juga masih dalam proses mendisplinkan diri mendekati jalan agama.

Barangkali MK sedar, tiada sebaik-baik teguran dan kejujuran selain dari Dia. Dari situlah juga, muncul kisah perjalanan MK ‘keluar tiga hari’ menyertai tabligh yang tular minggu lalu.

“Niat saya menyertai kelas agama hanya mendisiplinkan diri, menyegarkan minda dan jiwa dengan ilmu-ilmu agama.

“Bukan berubah 360 darjah jadi orang alim. Hidup ini satu perjalanan dan perlahan-lahan kita berubah ke arah kebaikan.

“Alhamdulillah, sama-sama kita perbetulkan apa yang perlu diperbetulkan,” katanya dalam satu pertemuan eksklusif bersama Pose di ibu pejabat Media Mulia, Rabu lalu.

Bercerita tentang kisah tiga hari di Jerantut, Pahang mengikuti kelas agama bersama jemaah tabligh, anak kelahiran Tawau, Sabah itu mengakui, sebenarnya sudah lama dia didatangi niat sebegitu.

Solekan: SITI SOFIAH (_SITISOFIAH_) Busana: AM DESIGN

Dia bersyukur akhirnya diberi kelapangan melestarikan niat di hati.

“Sejak tiga bulan lalu, saya mencari jalan dan masa untuk mengosongkan jadual untuk fokus 100 peratus terhadap kelas tersebut.

“Orang cakap perubahan itu nampak terlalu drastik tetapi tidak benar, perkara itu cuma berlaku secara spontan.

“Media sosial hanya tempat dan pilihan kita untuk berkongsi apa yang mahu ditonjolkan atau perlu orang sedari. Tak semua perkara kita ingin tunjuk.

“Misalnya, kalau kita ada masalah, kita tak tunjuk semua itu, kita simpan sendiri.

“Orang mudah menghakimi kita hanya berdasarkan apa yang kita tunjuk dalam media sosial sedangkan itu bukan realiti,” ungkap anak ketujuh daripada 10 orang adik-beradik itu.

ACAP kali dikritik netizen kerana sering menggayakan rantai emas, kata MK, dia tidak boleh memuaskan hati semua orang. Baginya, adalah lebih baik belajar untuk memuaskan hati diri sendiri dahulu sebelum terkejar-kejar memuaskan hati orang lain.

‘Bad boy’

Terarah bicara tentang kemanisan hidup, MK cukup menyedari tanggungjawabnya sebagai figura umum. Dia juga perlu membalas ‘kemanisan’ yang diterima kepada tangan-tangan yang telah bersama dengannya.

“Bukan saya seorang sahaja, rasanya ramai orang telah diberikan kemanisan hidup. Tujuan mendekati agama tempoh hari juga bukan untuk menunjuk-nunjuk.

“Cuma sebagai selebriti, gerak-geri saya diperhatikan. Saya sudah dapat banyak kemanisan. Saya nak kongsi balik sebagai tanda syukur dan mengingatkan diri tentang tangan-tangan yang memberikan kemanisan hidup itu,” luahnya penuh hemah.

Popular dengan imej ‘bad boy’ yang sebelum ini sering dilihat menggayakan emas sebagai aksesori wajibnya, justeru, adakah telah berakhirnya kecenderungan, begini jawabnya:

“MK tetap MK. Masih bad boy (tertawa). Orang luar kena tahu. Sebagai penghibur, tugas kami menghiburkan bukan nak mewujudkan contoh-contoh yang tidak baik.

“Saya terima teguran masyarakat tentang pakai rantai emas. Jangan risau, satu hari nanti saya tanggalkan.”

Lancar membutirkan bicara, MK dengan rendah diri turut menitipkan pesanan buat golongan yang sewenang-wenangnya mengkritik orang lain hanya dengan apa yang terpapar dalam media sosial.

“Saya pergi kelas agama bukan sebab teguran netizen tetapi kesedaran itu datang dengan sendiri. Menegur tak salah tetapi mengkritik membuta-tuli kadang-kadang boleh buat orang melawan.

“Saya pun jenis begitu. Media sosial boleh jadi satu dunia yang sangat toksik namun usahlah kita terus hanyut dengan ketoksidan kata-kata yang tidak bertapis,” ujarnya sedikit bertegas.

SEPANJANG tiga hari di Jerantut banyak momen menjentik jiwanya MK. Katanya, hanya orang yang pernah menyertai program sebegitu dapat menikmati perasaan berkenaan.

Nak kahwin?

Buat segelintir selebriti, wanita khususnya, jika sudah ada kecenderungan terhadap agama, itu petanda mereka sedang ke fasa baharu iaitu perkahwinan.

Tertawa saat situasi sama diusulkan kepadanya, MK berkata usianya masih muda. Jadi, masih banyak perkara belum dipenuhi sebelum ingin menjawat peranan sebagai suami.“Nak kahwin? Saya muda lagi. Tiada niat lagi ke arah itu. Bagi saya, nak settle down bukan senang. Ingin hidup berkeluarga satu tanggungjawab besar dan saya masih banyak lagi kerja belum selesai.

“Sebelum berkahwin, saya kena fikir jauh dan lebih dalam. Kena cukup bersedia dengan diri sendiri sebelum sedia hidup dengan orang lain,” kata MK menoktahkan perbualan.

K-CLIQUE bakal muncul dengan album debut tahun ini. Kata MK, album tersebut masih lagi dalam pembikinan dan peminat boleh menjangkakan sesuatu yang baharu daripada mereka.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI