LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menyeru agar barisan pemain menguatkan aspek mentaliti dalam usaha melakar kemenangan ke atas musuh tradisi, Tottenham Hotspur pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates pada tengah malam ini.
Kata Arteta, kelemahan ketara yang dimiliki oleh pasukannya musim ini adalah gagal mempamerkan aksi konsisten terutama apabila bertemu pasukan gergasi sekali gus berharap nasib itu berubah apabila bertemu Spurs nanti.
“Saya mahu pemain menunjukkan kualiti khususnya daripada aspek mentaliti bahawa kami boleh melakar kemenangan pada aksi bertemu Spurs yang boleh dianggap sebagai salah satu pasukan terbaik di liga ini.
“Misi pasukan untuk melakar kemenangan pasti berhasil jika barisan pemain tidak melakukan kesilapan mudah selain menunjukkan kematangan tidak kira ketika bertahan atau menyerang,” kata pengendali kelahiran Sepanyol itu.
Mengulas lanjut, Arteta mengakui skuad kendalian Jose Mourinho itu lebih memiliki momentum berbanding The Gunners selain trio serangan pasukan lawan yang terdiri daripada Gareth Bale, Harry Kane dan Son Heung-min cukup berbisa ketika ini.
“Tiada siapa boleh menafikan kualiti yang dimiliki oleh pasukan Tottenham. Mereka adalah pasukan yang cukup teratur daripada segi taktikal serta teknikal dan ia terbukti
pada pertemuan liga awal musim ini.
“Bagaimanapun, saya percaya misi kali ini adalah berbeza dan saya mahu pemain memanfaatkan tempoh lebih 90 minit perlawanan untuk berikan yang terbaik sekali gus menggembirakan harapan penyokong di rumah,” katanya. – AGENSI