PETALING JAYA – Pelakon Maya Karin mempersoalkan keberkesanan pemakaian sarung tangan plastik pakai buang di pusat beli-belah yang dilihat sebagai salah satu langkah membendung jangkitan wabak Covid-19 dalam kalangan pelanggan premis.
Maya atau nama sebenarnya, Maya Karin Roelcke, 41, berkata, cara paling efektif mencegah jangkitan Covid-19 ialah membasuh tangan dengan kerap dan mengamalkan penggunaan cecair pembasmi kuman.
“Kita nak lawan Covid-19 kena pakai otak, sains dan logik akal.
“Contohnya, kalaulah saya ada virus Covid-19 lepas itu pakai sarung tangan plastik. Pegang sana-sini sebelum buang ke dalam tong sampah kemudian tukang cuci ambil sarung tangan tersebut dan dijangkiti.
“Bagi saya, kalau pakai cecair pembasmi kuman dan kerap cuci tangan, lagi bagus kerana terus bunuh kuman berbanding pakai sarung tangan plastik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Dalam pada itu, Maya yang cukup terkenal sebagai aktivis alam sekitar menyifatkan penggunaan sarung plastik akan mencemarkan lagi persekitaran.
“Bayangkan berapa banyak plastik yang digunakan untuk langkah pencegahan ini. Pakai tak sampai dua minit tapi kesan kepada alam sekitar, kita tak fikir.
“Kalau plastik itu dibuang merata-rata oleh pelanggan premis ambil masa antara 400 hingga 1,000 tahun untuk dilupuskan. Saya faham orang nak lawan Covid-19 tapi tidak dengan cara macam ini apabila semua premis terutama pakaian dan kosmetik seperti mewajibkan pemakaian sarung tangan plastik pakai buang.
Maya awal minggu lalu menerusi Twitter memberi reaksi terhadap satu ciapan seorang pengguna yang turut mempersoal kerelevanan pemakaian sarung tangan plastik pakai buang di kebanyakan pusat beli-belah.
Terdahulu, kerajaan menetapkan penggunaan sarung tangan plastik pakai buang kepada pelanggan untuk memilih pakaian di premis sejak 10 Februari apabila baki sektor perniagaan peruncitan dibuka sepenuhnya. – K! ONLINE