MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengesahkan bahawa penjaga gol utamanya, David De Gea sudah kembali menyertai pasukan tetapi tempatnya di dalam skuad yang akan turun menentang West Ham United awal pagi esok belum terjamin.
De Gea diberikan pelepasan minggu lalu untuk pulang ke Sepanyol menyambut kelahiran anak perempuannya menyebabkan United menyenaraikan Dean Henderson untuk beraksi dalam tiga perlawanan,
Henderson berjaya mempamerkan aksi tanpa bolos ketika menentang Crystal Palace dan Manchester City tetapi menerima kritikan ekoran kegagalannya menyelamatkan tandukan Simon Kjaer ketika aksi Liga Europa menentang AC Milan.
Biarpun sudah kembali ke England dari Sepanyol, De Gea perlu menjalani prosedur pengasingan kendiri yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.
“David sudah kembali. Dia sedang menjalani proses pengasingan kendiri. Saya tidak pasti sama ada dia akan mendapat pelepasan untuk beraksi menentang West Ham.
“Saya tidak pasti bila dia kembali ke England, mungkin Isnin atau Selasa lalu. Saya fikir peraturannya adalah dia perlu berada di rumah, jadi dia belum turun berlatih setakat ini,” katanya.
Berdasarkan peraturan, mana-mana individu yang pulang ke Britain dari Sepanyol perlu menjalani proses kuarantin kendiri selama lima hari. – AFP