TOKYO – Kombinasi muzium dan sauna dengan persembahan seni digital berteknologi tinggi, TikTok teamLab Reconnect dijangka menjadi tarikan terbaharu di Jepun minggu depan, lapor portal berita British Herald, kelmarin.
Ciptaan kumpulan yang dikenali sebagai teamLab dari Jepun itu melibatkan sekumpulan jurutera, seniman dan arkitek telah membina tujuh sauna yang bersimpang siur diterangi cahaya warna merah, hijau dan kuning.
Selain itu, ia turut mempunyai hiasan dinding yang memaparkan deraian kelopak bunga yang gugur, bola besar melayang dan bertukar warna selain ratusan kupu-kupu keluar dari layar titisan air secara digital.
Mereka mengambil alih sebuah lot kosong di daerah Roppongi dan mendirikan khemah gergasi yang menempatkan bilik sauna dan tiga ruangan seni sejak tahun lalu.
“TikTok teamLab Reconnect akan dibuka pada 22 Mac hingga hujung Ogos dengan bayaran A$44 (RM181) pada hari biasa dan AS$53 (RM218) pada hujung minggu.
“Pengunjung boleh menggunakan pancuran air panas serta sejuk sambil menikmati pameran seni dengan memakai pakaian mandi,” kata anggota teamLab, Takashi Kudo.
Pasukan itu turut mengambil kira semua deria termasuk sentuhan, suara dan bau dengan aroma seperti teh hijau panggang dan pokok birch putih.
“Tidak ada yang pergi ke muzium seni dengan cara ini kerana keduanya datang dari dunia berbeza
“Apa yang ingin kami lakukan ialah mewujudkan pengalaman istirahat sambil menikmati seni dalam suasana berbeza,” katanya. – Agensi