QUITO, Ecuador – Banjir dan hujan abu dari gunung berapi Sangay yang meletus telah memusnahkan 60,000 hektar tanah dan tanaman di Ecuador dengan seramai 350,000 penduduk terjejas, lapor agensi berita AFP hari ini.
Maklumat itu disalurkan perkhidmatan pengurusan risiko negara pada Sabtu menerusi Twitter.
“Kerajaan akan membantu penduduk yang terjejas dengan kejadian banjir dan hujan abu dari Sangay di seluruh negara,” tulis Presiden Ecuador, Lenin Moreno di Twitter.
Beliau turut mengumumkan penstrukturan semula pinjaman pertanian dan menghantar pasukan khas untuk membantu golongan petani.
Pada 1 Februari lalu, 16,320 hektar musnah akibat banjir di beberapa pantai dan wilayah Andean, meragut enam nyawa serta menjejaskan kehidupan 18,000 orang.
Hujan abu Gunung Berapi Sangay yang menunjukkan peningkatan aktiviti dalam tempoh seminggu yang terakhir ini telah memuntahkan awan abu besar dan memusnahkan 43,000 hektar tanaman.
Bagaimanapun, letusan debu dari gunung berapi setinggi 5,230 meter yang terletak di wilayah Amazon bersempadan dengan Peru itu telah reda dan tiada kes baharu dilaporkan di enam wilayah yang terjejas.
Lapangan terbang antarabangsa di Guayaquil, yang merupakan ibu kota wilayah Guayas terpaksa menghentikan operasi pada minggu lalu berikutan hujan abu. – AFP