fbpx

Wanita maut, dua lagi parah kereta bertembung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kemalangan di lampu isyarat Jalan UTeM Lebuh SPA, Alor Gajah membabitkan dua buah kereta semalam mengorbankan satu nyawa, manakala dua lagi parah.

ALOR GAJAH – Seorang wanita maut, manakala dua lagi termasuk seorang kanak-kanak parah dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di lampu isyarat Jalan UTeM Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA), di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 malam itu, Lim Siu Kim, 33, yang merupakan penumpang kereta jenis Datsun meninggal dunia ketika menerima rawatan di zon merah di Hospital Melaka.

Pemandu kereta berkenaan, lelaki warga emas berusia 61 tahun, serta seorang lagi penumpang kanak-kanak yang identitinya masih belum dikenal pasti mengalami kecederaan parah dan menerima rawatan di zon sama.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, ketika kejadian kereta dipandu warga emas berkenaan dalam perjalanan dari arah Philea Resort menghala ke Kolej Yayasan Saad.

“Setiba di tempat kejadian, kereta dinaiki ketiga-tiga mangsa telah bertembung dengan sebuah kereta jenis Toyota Vios dipandu seorang wanita berusia 33 tahun yang menghala ke Gangsa.

“Akibat kemalangan itu, semua mangsa di dalam kereta Datsun mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan, bagaimanapun seorang penumpang wanita disahkan meninggal dunia ketika dirawat di zon merah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pemandu kereta jenis Toyota Vios bagaimanapun hanya mengalami luka-luka.

“Siasatan masih dijalankan untuk mendapatkan maklumat mangsa dan kejadian.

“Bagaimanapun, hasil siasatan awal di lokasi kita percaya kemalangan itu disebabkan pemandu tidak mematuhi lampu isyarat,” katanya.

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Jabatan Forensik bagi proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI