HAMPIR lima tahun vakum daripada sebarang perkongsian diskografi, Bruno Mars kembali dengan buah tangan terbaharu berjudul Leave The Door Open. Kali ini dia berkolaborasi dengan Anderson .Paak dan menamakan diri mereka sebagai Silk Sonic.
Seperti kelaziman, Mars tidak langsung mengecewakan peminat yang sentiasa dahagakan muzik berkualiti daripada dirinya. Leave The Door Open yang disuntik elemen retro 1970-an merupakan satu antem R&B berona vintaj yang luar biasa.
Diberi peluang berkenalan karya terbaharu dua figura hebat itu secara automatik membuatkan sesiapa yang mendengar pasti akan memetik jari, berdansa mengikut arus melodi dan menyanyi bersama.
Hal ini kerana, lagu tersebut sangat mesra telinga dan mempunyai nilai berbeza berbanding lambakan lagu lain dalam pasaran. Jangan sesekali menafikan, Mars merupakan penyanyi dan komposer yang bijak mencedok elemen-elemen lama, namun dikemas kini dengan sempurna mengikut peredaran masa. Begitu juga dengan .Paak.
Dari segi kualiti vokal, tiada siapa boleh menafikan listrik merdu Mars. Dia tahu benar pekerjaan yang dikerjakannya. Paak dalam pada itu, terus membuktikan dia lebih daripada hanya seorang penyanyi rap. Ketika pertama kali meminjamkan telinga mendengar lagu ini, tersalah tafsir bahawa nota solo pertama adalah nyanyian Mars tetapi rupa-rupanya datang daripada suara .Paak.
Serba-serbi cemerlang
Dari segi komposisi melodi, apa yang dicernakan daripada karya tersebut adalah prestasi kelas A. Semuanya hasil kerjasama cermat bukan sahaja antara Mars dan Paak bahkan ahli-ahli Silk Sonic yang lain.
Ingin juga membawa tumpuan pendengar untuk memberi pujian terhadap kualiti video muzik yang disifatkan sangat genius. Nuansa, rona dan jiwa dalam video muzik lagu berkenaan benar-benar bertetapan dengan tema Leave The Door Open.
Lagu tersebut mempunyai peluang besar untuk tercalon dalam Grammy Awards musim mendatang. Kalau tidak sangkut trofi ‘Rakaman Lagu Terbaik’, mungkin penganjur akan menerima kecaman hebat sekali lagi apabila melakukan kesilapan serupa kepada The Weeknd. Dia langsung tidak menerima sebarang pencalonan dalam Grammy Awards yang akan berlangsung Isnin ini.
Leave The Door Open merupakan single perdana yang dipetik daripada album Silk Sonic berjudul An Evening with Silk Sonic yang akan dilancarkan tidak lama lagi. Tidak sabar untuk dilimpahkan ‘eargasm’ trek-trek berikutnya.