MANCHESTER – Pengendali Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengakui keputusan seri 1-1 ketika menentang AC Milan awal pagi semalam adalah adil tetapi sedar ia membuatkan tugas mereka menjadi sukar.
Milan melakukan 16 percubaan ke arah gawang United dengan dua jaringan dilakukan tidak disahkan tetapi tandukan Simon Kjaer pada masa kecederaan berjaya memadam kelebihan United yang mendapatkan gol pendahuluan menerusi Amad Diallo.
“Sangat mengecewakan apabila mereka menyamakan kedudukan menerusi gol pada penghujung perlawanan. Ia membuatkan tugas kami menjadi sukar tetapi kami masih mempunyai peluang pada aksi kedua,” katanya.
Aksi timbal balik kedua bakal berlangsung di San Siro Jumaat depan dan Milan berjaya memiliki kelebihan gol di tempat lawan hasil jaringan berkenanan.
Dalam pada itu, Solskjaer percaya, penjaga golnya, Dean Henderson sepatutnya mampu untuk mempamerkan aksi yang lebih baik pada saat-saat akhir perlawanan berkenaan.
“Ia merupakan tandukan dari jarak tiga meter, sudah tentu dia (Henderson) mampu untuk menyelamatkan gawangnya. Saya melihat dia cuba menyelamatkan bola itu tetapi gagal untuk menepis bola dengan baik.
“Kami cuba untuk bertahan tetapi Kjaer berjaya melakukan larian dan menanduk bola tersebut. Pemain kami sepatutnya mengawal dan membuat hadangan untuk menghalang mereka daripada melakukan ancaman.
“Banyak perlawanan kami melalui situasi seperti ini dan kali ini ia berlaku sekali lagi. Saya pernah berada dalam pasukan yang menjaringkan gol pada lewat permainan dalam situasi bola mati seperti itu,” katanya. – AGENSI