PETALING JAYA – “Apa yang berlaku akan saya jadikan sebagai pengajaran dan lebih berhati-hati menerima lelaki untuk dijadikan pasangan pada masa akan datang.”
Demikian luahan gadis berusia 19 tahun dari Kuala Terengganu yang ditinggalkan tunangnya dua hari sebelum mereka sepatutnya bernikah pada Ahad lalu.
Gadis yang mahu dikenali sebagai Jannah berkata, dia tidak mengetahui punca sebenar bekas tunangnya yang berusia 19 tahun memutuskan hubungan.
“Dia (bekas tunang) hubungi ibu saya pada Jumaat lalu (5 Mac) beritahu mahu memutuskan pertunangan. Apabila ibu bertanya sebab apa, dia menjawab tiada sebab dan sekadar beritahu mahu memulangkan cincin.
Artikel berkaitan: Pre-wedding sendirian, tunang lari ikut kekasih lama
“Persiapan seperti hantaran, pakaian dan makanan telah dibuat. Saya berhenti kerja di sebuah pasar raya untuk menguruskan majlis ini,” katanya sebak ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Semalam tular di media sosial hasrat seorang bakal pengantin perempuan merakamkan gambar praperkahwinan bersama bakal suaminya tidak kesampaian apabila lelaki itu memutuskan hubungan pada saat akhir.
Lebih menyedihkan, gadis itu tetap meneruskan sesi fotografi secara bersendirian walaupun majlis perkahwinan dibatalkan memandangkan bayaran telah dibuat kepada jurugambar.
Mengulas lanjut, Jannah memberitahu, dia dan bekas tunangnya berkenalan lebih setahun lalu.
Sepanjang perkenalan itu, pasangan tersebut tidak pernah bergaduh besar tetapi bekas tunangnya mula menunjukkan perubahan sikap beberapa minggu lalu.
“Apabila ditanya, dia kata fikirannya berserabut,” katanya.
Selepas itu, dia gagal menghubungi pemuda tersebut yang pernah bekerja di sebuah kedai makan bagi mengetahui punca sebenar ditinggalkan.
“Saya pasrah dengan ujian yang menimpa dan berharap orang ramai tidak lagi menularkan kejadian yang berlaku bagi menghormati kedua-dua pihak,” kata Jannah yang tidak mengetahui bagaimana kisahnya tular dan mendapat perhatian netizen yang rata-rata bersimpati dengan nasibnya.-K! ONLINE