fbpx

Suami banyak ingatkan saya – Miera Leyana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MIERA LEYANA

TIADA apa yang lebih membahagiakan pasangan suami isteri yang baru melayari bahtera perkahwinan apabila dikurniakan rezeki awal menimang cahaya mata.

Itulah yang dirasakan pelakon Miera Leyana sebaik mengetahui dirinya hamil anak sulung.

Miera atau nama lengkapnya Miera Leyana Kasmi, 27, bersyukur kerana pengalaman kehamilan pertamanya tidak diduga dengan sebarang alahan.

MIERA LEYANA kini hamil tujuh bulan.

“Alhamdulillah. Saya tidak mengalami alahan seperti muntah dan tidak boleh bangun seperti kawan-kawan lain. Ramai yang berkongsi pengalaman sulung kehamilan mereka tetapi syukur kerana proses kehamilan saya dipermudahkan.

“Sebenarnya ramai yang tertanya-tanya mengenai hal ini kerana saya hanya berkongsi gambar suasana sekeliling dan makanan sahaja. Tidak menampakkan muka serta bentuk tubuh.

“Selera makan bertambah dan sekarang berat badan badan saya naik daripada 55 kilogram (kg) kepada lebih 70 kg.

“Tiada pula mengidam juadah atau makanan pelik-pelik. Cuma saya teringin bercuti ke luar negara seperti London, Paris dan menunaikan umrah,” kata Miera sambil tertawa.

ROSLAND juga menjadi lelaki paling bahagia apabila mendapat tahu bahawa Miera sebenarnya bunting pelamin sebaik mereka bernikah pada Julai tahun lalu.

Masih rahsia

Mengulas mengenai jantina anak dalam kandungan, Miera menjelaskan, dia dan suami, Rosland Othman, 48, sepakat untuk tidak mengetahuinya sehinggalah selamat melahirkan kelak.

Apa yang penting, kesihatan anugerah Tuhan itu menjadi keutamaan.

Mengakui kehadiran zuriat bakal menjadi rezeki terindah tahun ini, pelakon itu bagaimanapun tetap khuatir dengan situasi semasa pandemik Covid-19.

“Sekejap lelaki sekejap perempuan, sering bertukar-tukar pula, jadi saya dan suami memilih untuk menerima sahaja rezeki Allah.

“Yang penting bayi saya nanti sihat dan semuanya berjalan lancar.

“Saya tahu, tahun ini juga ramai orang masalah, kewangan juga terjejas, hilang pekerjaan dan sebagainya.

“Namun, rezeki saya pula sangat bermakna dengan kehadiran bayi ini nanti.

Semoga kandungan saya berada dalam keadaan sihat dan terima kasih kepada keluarga, rakan-rakan dan semua peminat yang sudah mendoakan apa saja terbaik buat saya bersama suami,” kata Miera.

Menurut Miera, sekarang penting untuk dia menjaga kesihatan diri berikutan kes jangkitan Covid-19 masih aktif dan harus mengutamakan norma baharu dalam kehidupan.

KEHADIRAN suami banyak mengubah hidup MIera Leyana menjadi wanita dewasa yang tahu tanggungjawab dalam rumah tangga.

Belajar memasak

Miera dan Rosland yang juga usahawan itu disatukan pada 26 Julai tahun lalu di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

Memilih lelaki yang berjarak usia 20 tahun, Miera hanya mengharapkan seorang suami yang mampu membimbingnya ke syurga.

Masih ‘gila-gila’ seperti dahulu, transisi kematangan Miera selaras dengan statusnya yang bakal bertukar menjadi ibu tidak lama lagi.

Jika Miera yang dahulu pernah hampir membuatkan dapur rumahnya terbakar gara-gara mahu memasak mi segera, kini semakin mahir beraksi di dapur.

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem Anugerah Skrin pada 2013 menerusi filem Pecah itu mengakui kehadiran suami, banyak mengubah dirinya menjadi lebih matang.

“Saya masih Miera Liyana yang sama. Sikap ‘gila-gila’ masih ada, cuma lebih matang, apatah lagi saya bakal bertukar status menjadi ibu.

“Sejak bergelar isteri, saya mula ada tanggungjawab sebagai wanita dewasa. Kalau dahulu saya anggap diri seperti remaja, kini berbeza.

“Saya juga belajar memasak, jika dahulu hendak masak nasi pun tidak menjadi, kini saya tahu masak lemak daging salai. Semuanya demi selera suami,” kata Miera.

Menurut Miera, selain menonton YouTube dan meminta resipi daripada ibunya, keluarga mentuanya juga sering berkongsi petua masakan.

“Sebelum berkahwin saya langsung tak pandai memasak. Nak menggoreng pun tak tahu! Pendek kata kalau saya cuba masak sesuatu masakan, semua tak menjadi.

“Jadi selepas berkahwin saya nekad untuk belajar. Bukan kerana memenuhi permintaan suami semata-mata, tetapi atas kesedaran sendiri. Lama-kelamaan menjadi rutin wajib saya.

“Memang pada mulanya agak sukar dan perlu mengambil sedikit masa, tetapi selepas banyak kali mencuba baru menjadi. Bagi saya menonton YouTube lebih mudah berbanding melihat resipi. Bukan apa, resipi yang diberikan ibu banyak kepada secukup rasa, namun tetap membantu saya,” katanya yang kini sarat hamil tujuh bulan.

BERTUKAR status daripada seorang wanita muda berkarier menjadi isteri orang, Miera kini menghitung hari untuk menimang cahaya mata sulungnya, sekali gus memahkotakan gelaran ibu buat dirinya.

Bunting pelamin

Baru bersedia bercerita kepada umum tentang status berbadan dua, Miera menjelaskan, sebenarnya sudah lama dia mahu berkongsi berita gembira itu kepada umum namun menunggu saat kandungannya benar-benar kuat.

Hasrat Miera bagaimanapun tertangguh dengan pandemik yang melanda negara dan memberikan fokus kepada kesihatannya sebagai ibu hamil.

“Saya tidak berniat untuk merahsiakan kehamilan pertama ini, namun hanya mengikut nasihat orang tua-tua yang ingin menunggu sehingga kandungan cukup kuat.

“Tidak sangka berita ini dikongsikan pada tempoh kehamilan yang memasuki trimester ketiga. Saya kini mudah penat dan asyik tidur pada waktu petang untuk mendapatkan tenaga.

“Suami juga selalu ingatkan saya supaya berhati-hati, tak boleh terlalu aktif dan menjaga pemakanan harian kerana bayi memerlukan nutrisi terbaik untuk perkembangannya. Sebagai bakal ibu, saya teruja nak menimang cahaya mata ini sendiri,” katanya.

Rosland yang terlibat sepanjang fotografi istimewa untuk koleksi peribadi mereka itu turut bercerita. Dia sangat teruja sebaik mendapat tahu isterinya ‘bunting pelamin’.

“Semoga dengan kehadiran cahaya mata pertama kami ini akan menambahkan lagi seri dan kebahagiaan rumah tangga kami. Miera sendiri tidak tahu dirinya ketika majlis resepsi, dia banyak bergerak dan aktif seperti biasa,” ujar ahli perniagaan itu.

Foto: BLACKPEPPER PRODUCTION (@blackpepperproduction)
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI