LENGGONG – Kerajaan akan membangunkan Lenggong Geopark di sini yang bukan sahaja melibatkan tapak-tapak geologi dan arkeologi, malah akan mengetengahkan tapak-tapak yang kaya dengan kepelbagaian biologi, sejarah, budaya dan produk tempatan.
Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, cadangan Lenggong Geopark itu akan meliputi kawasan seluas 2,391 kilometer persegi yang melibatkan empat mukim iaitu mukim Kenering, Lenggong, Temelong dan Durian Pipit.
“Saya difahamkan Lenggong Geopark ini akan menjadi Geopark Kebangsaan yang kedua di Perak selepas Geopark Lembah Kinta yang telah dimasyhurkan oleh Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 25 Oktober 2018,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Galeri Lenggong Geopark di Kota Tampan di sini hari ini.
Menurut Saarani, Lembah Lenggong amat terkenal dengan penemuan rangka manusia prasejarah atau lebih dikenali dengan nama Perak Man sehingga membolehkan ia diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia pada 2012.
Justeru katanya, pembangunan Geopark adalah selari dengan dasar kerajaan negeri untuk meningkatkan kelestarian pembangunan dan pengurusan ekonomi, sosial dan sumber semula jadi.
Jelasnya, adalah menjadi matlamat sesebuah Geopark dibangunkan untuk memelihara dan mengekalkan sumber semula jadi di mana sebarang pembangunan fizikal hendaklah dijalankan secara lestari dan terkawal.
Menurut beliau, pembangunan Geopark juga adalah selaras dengan dasar merancang pembangunan fizikal mampan dengan cara membangunkan guna tanah secara bersepadu dan memelihara khazanah semula jadi Perak agar seimbang dan berdaya tahan.
“Di bawah konsep Geopark, khazanah sumber semula jadi di sesuatu kawasan dikekalkan dan dimanfaatkan untuk menjana pendapatan penduduk tempatan melalui aktiviti geopelancongan,” katanya.
Beliau berkata, ia akhirnya akan menyumbang kepada pembangunan fizikal yang mampan di samping menambah baik tahap sosio-ekonomi masyarakat.
“Saya dimaklumkan bahawa kos untuk pembinaan Galeri Lenggong Geopark ini ditanggung oleh Yayasan Albukhary yang menyediakan peruntukan sebanyak RM2 juta.
“Bagi pihak kerajaan negeri Perak, saya merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Yayasan Albukhary atas kemurahan hati menyediakan peruntukan tersebut.
“Semoga usaha murni pihak Yayasan Albukhary ini akan menjadi contoh kepada badan korporat yang lain dalam membantu kerajaan mengekalkan sumber semula jadi negara pada masa akan datang,” ujarnya. – K! ONLINE