fbpx

Master cemerlang, Hawa Rizwana pernah hampir putus asa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hawa Rizwana

PETALING JAYA – Laman Instagram pengacara dan personaliti TV, Hawa Rizwana dibanjiri ucapan tahniah daripada rakan-rakan artis dan pengikutnya selepas berjaya menamatkan pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana Komunikasi Massa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan memperolehi keputusan cemerlang.

Menerusi hantaran tersebut, Hawa atau nama sebenarnya Hawa Rizwana Ahmad Redzuan, 26, berkongsi slip keputusan peperiksaannya dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) sebanyak 3.78.

Hawa ketika dihubungi Kosmo! Online memberitahu, dia berasa gembira dan bersyukur kerana segala pengorbanannya selama ini berbaloi.

Hawa berjaya menamatkan pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana Komunikasi Massa di UiTM dengan memperolehi keputusan cemerlang.

“Alhamdulillah saya sangat gembira dan bersyukur walaupun sebenarnya hampir pernah berputus asa untuk meneruskan pengajian,” ujarnya.

Menurut Hawa, dia pernah berasa tertekan untuk fokus dalam dua bidang iaitu sebagai akademik dan karier sepenuh masa kerana bergelut dengan jadual kerja yang padat.

Ujar personaliti kelahiran Illinois, Amerika Syarikat itu, kerjaya sebagai wartawan dan pembaca berita memerlukan komitmen tanpa mengira waktu.

“Kelas seminggu ada tiga kali dari pukul 6 petang hingga 9 malam. Kalau perlu baca berita untuk slot Buletin Utama, saya terpaksa ganti pada waktu lain.

“Lama kelamaan, saya rasa tertekan sampai terbawa-bawa ke tempat kerja,” katanya.

Selepas berfikir dan berbincang dengan keluarga, Hawa akhirnya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai wartawan sekitar tahun 2019 ketika berada di semester kedua.

Bagaimanapun, permohonannya untuk berhenti kerja tidak diluluskan dan Hawa telah diberikan cuti tanpa gaji.

Selepas diberikan pelepasan, Hawa memberikan fokusnya 100 peratus untuk menamatkan pengajian dan akhirnya berjaya menamatkan pengajiannya selama dua tahun.

Ditanya tentang perancangannya untuk menyambut pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD), Hawa tidak menolak perancangan tersebut jika diizinkan Allah SWT.

“Sebenarnya ketika menyambung peringkat Ijazah Sarjana, saya kata dalam diri cukuplah setakat ini sebab melalui kesukaran untuk menghabiskannya.

“Tetapi bila dah selesai, rasa seronok pula untuk belajar,” katanya.

Menjengah ke ruangan komen, ramai rakan-rakan artis menitipkan ucapan tahniah seperti pelakon Elvina Mohamad, uyaina Arshad, Sufian Suhaimi, Haiza dan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Hawa dalam pada itu turut memberikan nasihat kepada mana-mana individu yang berhajat menyambung pengajian sambil bekerja supaya jangan mudah untuk berputus asa.

“Sesiapa pun boleh sambung belajar asalkan ada kemampuan dan minat. Paling penting ialah sokongan daripada daripada keluarga dan rakan-rakan,” kata Hawa yang memiliki wajah iras seperti Neelofa itu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI