BINTANG naturalisasi Malaysia, Liridon Krasniqi muncul pemain pertama negara membuat penampilan dalam saingan Liga Australia selepas diturunkan beraksi bersama kelabnya, Newcastle Jets.
Liridon, 29, yang mendapat kerakyatan Malaysia pada Februari tahun lalu, masuk sebagai pemain gantian menggantikan Angus Thurgate dalam minit ke-85 sewaktu Newcastle tewas 1-2 kepada Sydney FC di Stadium Netstrata Jubilee petang tadi.
“Liri (Liridon) sudah berlatih selama tiga minggu. Dia seorang pemain yang berbeza kerana memiliki skil kemahiran tersendiri,” kata ketua jurulatih Newcastle, Craig Deans sebelum aksi menentang Sydney baru-baru ini.
Bagaimanapun, kemasukan pemain tengah pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) itu tidak dapat banyak membantu Newcastle biarpun kelab tersebut memegang 58 peratus penguasaan permainan berbanding Sydney.
Dalam aksi itu, Newcastle berjaya membuka tirai jaringan terlebih dahulu menerusi Luksa Prso pada minit ke-21 sebelum Sydney bangkit menyamakan kedudukan melalui Milos Ninkovic pada minit ke-64.
Hasrat Newcastle untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata tidak kesampaian apabila Sydney berjaya meledak gol kedua sekali gus menjadi jaringan kemenangan perlawanan menerusi Alex Wilkinson ketika aksi berbaki 10 minit sebelum tamat.
Selain Liridon, dua lagi tonggak Harimau Malaya, Brendan Gan yang kini mewakili Perak FC dan bek kanan JDT, Matthew Davies masing-masing pernah beraksi dalam kancah liga negara berkenaan tetapi ketika itu mereka berdua masih memegang pasport Australia.
Sebagai rekod, Brendan pernah mewakili Sydney dari 2008 hingga 2011, manakala Davies menyarung jersi Perth Glory selama dua musim dari 2013 hingga 2015. – K! ONLINE