MELAKA – Intipan penguat kuasa selama empat hari di Kampung Padang Siapong, di Krubong di sini, membuahkan hasil apabila berjaya mencekup dalang yang membuang sampah domestik secara haram di kawasan tersebut, pagi tadi.
Dalam serbuan kira-kira 6.30 pagi itu, seorang pemandu lori dan kelindan berusia 30-an dicekup penguat kuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) ketika sedang memunggah muatan sampah domestik yang dibawa.
Pengarah SWCorp, Khairuladha Ab. Mutalib berkata, sepasukan penguat kuasa telah membuat beberapa siri intipan di lokasi seawal pukul 3 pagi selepas mengesan kegiatan pembuangan sampah haram di lokasi.
“Dalam intipan kali keempat, kita akhirnya berjaya menahan sebuah lori dipandu seorang lelaki dan kelindan yang dipercayai dalang kegiatan pembuangan sampah haram di kawasan itu.
“Kita juga telah menyita lori tersebut bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672),”katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Katanya, hasil siasatan awal pihaknya percaya kedua-dua lelaki tersebut merupakan pekerja dari syarikat kontraktor dan telah melakukan aktiviti tersebut sejak sebulan lalu.
“Kita bagaimanapun masih melakukan siasatan lanjut berhubung jumlah pembuangan sampah yang dilakukan kontraktor ini.
“SWCorp ingin mengingatkan agar semua pihak mematuhi peraturan ditetapkan kerana jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan sehingga RM100,000 atau penjara minimum enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – K! ONLINE