PASUKAN Petronas Sprinta Racing Yamaha Maju Motor melakukan kejutan apabila menyenaraikan bekas pelumba Moto2 negara, Kasma Daniel Kasmayudin untuk bersaing dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia yang membuka tirai di Litar Sepang Selatan minggu depan.
Lebih menarik, pasukan yang pernah memenangi lebih daripada 10 gelaran juara sejak tahun 1997 tersebut bakal mempersembahkan gandingan terbaik iaitu Muhd. Haziq Fairues, Nazirul Izzat Bahauddin serta Kasma Daniel dalam kategori CP150.
Kepulangan Kasma Daniel ke dalam kancah Cub Prix sememangnya menarik perhatian ramai peminat Cub Prix selepas pelumba muda berbakat itu pernah bergelar juara selama tiga tahun berturut-turut.
“Saya mengambil keputusan untuk meneruskan karier dalam perlumbaan dan saya juga tidak sabar dapat beraksi semula dalam gelanggang Cub Prix dan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).
“Mungkin ramai yang bakal memberikan pandangan negatif terhadap keputusan saya ini tetapi bagi saya, keputusan ini wajar kerana ia akan membenarkan saya untuk terus menjadi seorang pelumba profesional,” kata Kasma.
Difahamkan pelumba berusia 21 tahun tersebut akan menyertai perlumbaan ARRC dalam kategori 1000cc bersama pasukan Yamaha Racing Asian.
Untuk rekod, Kasma pernah memenangi gelaran juara CP115 pada tahun 2015, diikuti juara CP130 pada tahun 2016 dan mencatat sejarah sebagai pelumba pertama menjuarai kategori CP150 pada tahun 2017.
Kasma melangkah ke arena CEV pada tahun 2018 dan seterusnya menyertai saingan kategori Moto2 bersama pasukan ONEXOX TKKR SAG Racing Team pada musim 2020. Pada tahun ini impiannya untuk meneruskan kerjasama bersama pasukan tersebut tidak tercapai selepas SAG Team menamatkan kontrak lebih awal.
Dalam perkembangan sama, juara bertahan CP125, Syafiq Rosli akan dikekalkan dalam kategori sama.
Musim ini, Syafiq akan bekerjasama dengan Aliff Daniel untuk cabaran kategori tersebut.