RANTAU PANJANG – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bersedia membantu pendaftaran kelahiran anak-anak kepada pasangan suami isteri warga tempatan yang berkahwin di luar negara.
Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, langkah itu dijalankan untuk anak-anak pasangan suami isteri yang lahir di negara ini sahaja bagi menggelakkan sebarang kesukaran pada masa hadapan.
Katanya, sehubungan dengan itu, mereka yang berkahwin di luar negara wajib mendaftarkan anak mereka kepada JPN sekiranya lahir di negara ini.
“JPN mempunyai sebanyak 255 buah pejabat di seluruh negara yang sedia membantu golongan pasangan suami isteri itu untuk mendaftarkan anak-anak mereka.
“Nasihat saya, jangan korbankan masa depan anak-anak dengan tindakan tidak mendaftarkan sijil kelahiran mereka. Jika golongan ibu bapa tidak mampu untuk datang ke pejabat, mereka boleh meghubungi JPN bagi mendapatkan bantuan menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas turun padang menyerahkan dokumen sijil kelahiran kepada empat beradik menerusi Program Mekar di Kampung Petai Dusun di sini hari ini.
Dalam lawatan itu, JPN menyampaikan sijil lahir kepada Che Nor Shafikah Che Amat Mudi (10), Che Mohammad Adam (8), Che Nor Amiera (6) dan Che Nur Alisha (4) selepas kelahiran mereka tidak didaftarkan sejak lahir.
Hanya empat daripada sembilan beradik itu gagal mendaftarkan kelahiran mereka ekoran keluarga menghadapi masalah kewangan.
Mengulas lanjut, Ruslin memberitahu, bagi melancarkan gerak kerja, JPN menyediakan skuad bergerak yang akan turun terus ke lokasi untuk membantu golongan ibu bapa yang mempunyai masalah kewangan atau pengangkutan.
Katanya, beliau berharap penduduk di negara ini tidak mengambil mudah soal pendaftaran anak-anak kerana ia selari dengan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299).
Tambahnya, sejak 2018 hingga Febuari tahun ini, JPN telah mengesan sebanyak 33,244 kes berkait dengan pendaftaran lewat kelahiran di seluruh negara. – K! ONLINE