PETALING JAYA – Kecederaan yang menimpa pemain sensasi, Safawi Rasid pada awal saingan tidak menjejaskan rentak Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk meraih kemenangan bergaya 4-0 ke atas UiTM FC pada aksi Liga Super sebentar tadi.
Pada aksi di Stadium UiTM, Shah Alam itu, skuad Harimau Selatan menerima tamparan hebat apabila khidmat Safawi terpaksa dilupakan seawal minit ke-8 kerana mengalami kecederaan serius dan digantikan dengan Arif Aiman Hanapi.
Situasi tersebut ternyata tidak menjejaskan momentum JDT apabila Arif berjaya menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-11 disusuli dengan ledakan Gonzalo Cabrera berselang empat minit kemudian.
Skuad kendalian Benjamin Mora itu bertambah garang pada babak kedua selepas penyerang import, Bergson da Silva meledak gol ketiga pada minit ke-80.
Pesta gol JDT berakhir apabila pemain tengah, Syamer Kutty Abba bijak menyudahkan peluang pada masa kecederaan sekali gus menyaksikan keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Sementara itu, di Stadium MB Petaling Jaya, Selangor FC hanya mampu meraih keputusan seri 1-1 ketika bertemu Kuala Lumpur City FC (KL City).
Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah FC gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila tewas kepada Petaling Jaya City (PJ City) dengan keputusan 0-1.
Bagi aksi di Stadium Hang Jebat, Melaka, pasukan Sri Pahang berjaya meraih mata pertama musim ini selepas mengikat pasukan Melaka United dengan keputusan seri 0-0. – K! ONLINE