Delta Irrawaddy di Myanmar, dahulunya Burma, menyaksikan penghijrahan pelbagai puak dari Yunnan, Tibet dan beberapa tempat lain di China pada awal milenia.
Antara mereka adalah orang Pyu yang membina negara kota antara terawal dalam catatan sejarah bertulis mengenai Myanmar seperti Sri Ksetra, Binnaka dan Maingmaw.
Serangan daripada empayar Nangzhao di selatan China membawa bersama bangsa Burman atau orang Bamar.
Mereka menetap di Lembah Irrawaddy.
Bahagian bawah atau selatan Myanmar pula menjadi tempat tinggal orang Mon yang berasal dari Thailand.
Kawasan lembah dan gunung di rantau itu juga menjadi tempat tinggal banyak suku kaum lain seperti Shan, Kachin, Karen dan Karreni.
Bagaimanapun, orang Bamar atau Burman menjadi dominan selepas raja pertama Bamar, Anawrahta mengasaskan kerajaan Pagan dan membina empayar yang luas hingga ke Segenting Kra.
Malah, sejarah negara itu juga dipenuhi kisah-kisah kehebatan raja kaum Bamar seperti Anawrahta, Bayinnaung dan Alaungpaya.
Mungkin peristiwa paling bersejarah melibatkan kempen ketenteraan dinasti Konbaung yang diasaskan oleh Raja Alaungpaya.
Sengketa antara dinasti Kongbaung dan Dinasti Ban Phlu Luang di Siam berakhir dengan tentera Burma menjarah dan memusnahkan negara kota antara terbesar di dunia iaitu Ayutthaya.
Kekejaman terhadap penduduk Ayutthaya juga tiada tolok bandingnya sehinggakan kota tersebut tidak dapat pulih lagi dan hanya tinggalan sejarah di Thailand.
Sejarah menunjukkan kaum Bamar adalah dominan di Myanmar walaupun negara itu berbilang etnik dan kebanyakan mereka menganut agama Buddha.
Persamaan agama gagal menyatupadukan kaum-kaum di Myanmar.
Sengketa antara orang Bamar dengan kaum lain seperti orang Mon, Shan, Kayan, Karen dan Kachi terpalit ‘dendam lama’ yang sukar dilupakan.
Penundukan kaum lain menggunakan kekerasan bagi meluaskan empayar Bamar mencetuskan pergolakan merentasi masa sehingga sekarang.
Pemberontakan di Myamar lebih bersifat etnik berbanding politik.
Ketiadaan dasar nasional untuk menyatupadukan berbilang kaum di samping prinsip pecah dan perintah penjajah Britain memburukkan lagi perpecahan kaum di negara Asia Tenggara itu.
Ketika Myanmar di ambang kemerdekaan, bapa Aung San Suu Kyi iaitu Jeneral Aung San memeterai persetujuan damai dikenali sebagai Perjanjian Panglong dengan etnik Sham selaku etnik kedua terbesar di Myanmar.
Perjanjian itu memberi pilihan kepada Shan untuk keluar daripada persekutuan Myanmar.
Namun, terma perjanjian itu tidak pernah dikotai pemimpin Myanmar selepas pembunuhan Aung San.
Peranan Tatmadaw sangat penting bagi mengelakkan wilayah-wilayah di Myanmar berpecah.
Tindakan keras mengundang penentangan daripada etnik-etnik lain, manakala pendekatan berlembut pula disifatkan sebagai tanda lemah.
Pendek kata, laluan keamanan di Myanmar masih sangat jauh tanpa mengira sama ada negara itu diperintah oleh kerajaan awam atau junta tentera.-K! ONLINE