PETALING JAYA – Persembahan 12 buah lagu finalis Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) yang dinyanyikan secara medley oleh Badan Kesenian Tentera Darat (BKTD) menerusi YouTube berjaya menarik perhatian dan pujian ramai.
Menerusi video berdurasi selama hampir lapan minit, persembahan tersebut melibatkan empat penyanyi daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Iqbal, Zayani, Anas dan Iman yang lengkap beruniform tentera sambil diiringi pemuzik BKTD.
Ternyata persembahan oleh BKTD menarik perhatian pengguna YouTube. Masing-masing terhibur dan kagum dengan bakat nyanyian yang dipamerkan anggota ATM.
Menjengah ke ruangan komen, ada pengguna memberikan cadangan supaya pihak TV3 menganjurkan sebuah pertandingan medley terbaik.
“Rasanya TV3 dah kena mula buat pertandingan. Siapa yang buat medley paling hebat dapat hadiah. Baru ramai semangat nak buat setiap tahun,” katanya.
Antara persembahan yang menarik perhatian apabila salah seorang anggota menyanyikan bahagian berentak rap oleh MK untuk lagu Peluang Kedua nyanyian Nabila Razali.
“Aku paling suka bahagian rap lagu Peluang Kedua. Memang sesuai dengan suara dia,” ujar seorang pengguna YouTube.
Antara lain, ramai juga yang menggagumi persembahan oleh anggota bernama Zayani menerusi lagu Semalam (Aina Abdul) dan menyifatkan suaranya cukup mantap untuk menyanyikan lagu bernada tinggi itu.
“Padu teruk! Terus rasa level persembahan medley ini meningkat 200 peratus,” kata salah seorang netizen.
Terdahulu, BKTD adalah sebuah unit yang dipertanggungjawabkan untuk membuat persembahan kebudayaan dan moden bagi klien daripada ATM, sector awam dan persendirian.
Keanggotaan BKTD termasuk pemuzik, penyanyi dan penari terdiri sepenuhnya daripada pasukan tentera darat.
AJL35 bakal disiarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada malam esok (Ahad) dalam norma baharu tanpa penonton ekoran pandemik Covid-19. – K! ONLINE