HULU TERENGGANU – Keseronokan 25 pemancing yang sedang beriadah di Tasik Kenyir dekat sini semalam terencat apabila salah seorang daripada mereka dikenal pasti sebagai kontak rapat pesakit Covid-19.
Lelaki berkenaan telah diarahkan untuk menjalani saringan Covid-19 oleh Jabatan Kesihatan Terengganu pada pukul 5 petang manakala baki 24 individu lain tidak dibenarkan keluar dari rumah bot dinaiki untuk dikuarantin.
Pengerusi Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir, Zalani Endut berkata, sebaik menerima maklumat daripada Jabatan Kesihatan negeri, pihaknya dengan bantuan anggota Polis Gerakan Marin telah menjejaki rumah bot berkenaan yang ketika itu berada kira-kira 70 kilometer dari Jeti Pengkalan Gawi dekat sini.
“Lelaki itu telah dibawa pulang ke jeti sebelum dibantu untuk menjalani saringan Covid-19 di Hospital Hulu Terengganu di sini.
“Baki 24 penghuni rumah bot itu pula tidak dibenarkan keluar dan diarahkan menjalani kuarantin sehingga keputusan saringan Covid-19 itu dijangka keluar pada esok,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Difahamkan semua 25 pemancing yang berasal dari Manir, Kuala Terengganu tersebut memasuki Tasik Kenyir dengan rumah bot tersebut pada pukul 9 pagi, Khamis lalu.
Zalani berkata, rumah bot yang menjadi lokasi 24 rakan lelaki tersebut dikuarantin telah ditunda ke Jeti Pengkalan Gawi pada pagi ini. – K! ONLINE.