PARIT BUNTAR – Seorang lelaki cedera di kepala dan tangan akibat dipukul dengan botol kaca selepas menghadiri sambutan hari jadi di kilang beras lama di Simpang Lima di sini awal pagi tadi.
Mangsa, M. Raguwaran, 29, yang cedera itu ditemui orang awam terbaring di tepi jalan kira-kira pada pukul 7 pagi sebelum dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang berasal dari Kampung Keramat, Bagan Serai itu datang ke kilang tersebut pada pukul 10 malam semalam untuk meraikan sambutan hari jadi kawannya.
“Ketika tiba di kilang tersebut, mangsa mendapati ada tujuh hingga sepuluh lelaki lain berada di lokasi itu untuk tujuan sama.
“Sambutan hari jadi rakannya diadakan pada pukul 3 pagi dan mangsa mengakui semua yang ada di lokasi itu berada dalam keadaan mabuk,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Mazuki, sebelum dipukul dengan botol kaca, mangsa memberitahu kawannya dia ingin pulang ke rumah sebelum berlaku perselisihan faham antara mereka.
“Salah seorang daripada mereka dipercayai memukul mangsa dengan mengunakan botol kaca sebelum beberapa yang lain turut serta dalam pergaduhan itu.
“Mangsa yang mengalami pendarahan di bahagian kepala kemudiannya melarikan diri dari kawasan itu untuk menyelamatkan dirinya sebelum ditemui terbaring di tepi jalan oleh orang awam berhampiran kilang tersebut,” katanya.
Katanya, polis kemudiannya berjaya menahan tiga orang suspek yang berumur lingkungan antara 20 hingga 30 tahun yang terlibat di dalam pergaduhan itu.
“Kes di siasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya. – K! ONLINE