JAKARTA – Bantal peluk menyerupai hantu pocong yang dijual secara online tular di laman Twitter kelmarin.
Bantal bersaiz lelaki dewasa itu dikatakan sesuai dibeli sebagai dorongan untuk segera ‘bertaubat’ seperti dilapor portal berita Suara.com.
Menerusi foto-foto yang dikongsi di akaun Twitter @darionlshop, bantal pocong itu menyerupai badan seseorang dan amat sesuai untuk dipeluk.
‘Badannya’ dibungkus dengan kain mirip kain kapan lusuh dan kotor, manakala wajah bantal itu pula berwarna hitam pekat.
“Tempahan bantal pocong bersama cadar api neraka sudah dibuka, dijamin tidur nyenyak dan mimpi sampai akhirat,” tulis akaun tersebut yang diulang kicau sehingga 700 kali.
Rata-rata netizen berkata, mereka seram melihat bantal tersebut dan tertanya-tanya siapa yang sanggup membelinya.
“Kalau begini, saya tidak boleh tidur,” tulis seorang pengguna Twitter.
Seorang netizen lain berkata: “Tujuannya bagus, ia mengingatkan kita tentang kehidupan di akhirat, bukan di dunia sahaja.” – AGENSI