PETALING JAYA – Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan Perjawatan), Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Azmi Abu Kassim hari ini dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur dengan memangku pangkat Komisioner Polis (CP).
Pelantikan itu adalah antara 71 pertukaran pegawai kanan polis yang akan berkuat kuasa 12 April ini.
Superintendan Komunikasi Korporat, Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN), Superintendan A Skandaguru berkata,
pelantikan Azmi itu bagi menggantikan Datuk Saiful Azly Kamaruddin yang berpindah ke Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman selaku Timbalan Pengarah.
“Sementara itu, Datuk Arjunaidi Mohamed yang memangku jawatan Ketua Polis Selangor secara rasminya pula dilantik sebagai Ketua Polis Selangor dengan memangku pangkat CP.
“Pelantikan anak jati Negeri Terengganu itu bagi menggantikan Datuk Noor Azam Jamaludin yang bersara wajib pada 15 Disember tahun lalu,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner (ACP) Nik Ezanee Mohd. Faisal pula dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor.
“Pelantikan beliau ini bagi menggantikan Datuk Fadzil Ahmat yang ditukarkan ke Bukit Aman sebagai Ketua Penolong Pengarah Pendataan Analisa, JPJKK.
“Manakala Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Razali Abu Samah pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Melaka dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner (SAC),” ujarnya. – K! ONLINE