MANCHESTER – Bekas kapten pasukan Manchester City, Andy Morrison percaya pemain sayap sensasi, Riyad Mahrez wajar mendapat pengiktirafan sebagai pemain terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mempamerkan aksi yang cukup berbisa musim ini.
Sebagai rekod, pemain antarabangsa Algeria itu telah menjaringkan 10 gol dalam semua kejohanan dan dilihat menjadi pemain paling konsisten buat skuad The Citizens yang dibimbing oleh Pep Guardiola pada saingan musim ini.
Kata Morrison, Guardiola sememangnya terkenal dengan menggunakan format penggiliran pemain untuk kesebelasan utama pada mana-mana kejohanan musim ini tetapi dia dilihat jarang menggugurkan Mahrez.
“Saya telah membuat analisis dan melihat Guardiola sentiasa menggunakan khidmat Mahrez walaupun dia gemar menggunakan sistem penggiliran pemain. Tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa Mahrez adalah ayam tambatan buat pasukan musim ini.
“Malah, berdasarkan prestasi semasa, dia juga merupakan pemain sayap terbaik di Eropah dan mungkin wajar untuk menerima Anugerah Pemain-Pemain Profesional (PFA) England pada saingan musim ini,” katanya.
Sebelum ini Mahrez pernah mendapat Anugerah PFA England untuk musim 2016 ketika membantu pasukan Leicester yang dibimbing oleh Claudio Ranieri mencipta sejarah muncul juara EPL buat pertama kali.
City yang gah menerajui carta liga dengan mengutip 68 mata daripada 29 perlawanan dijadualkan bertemu dengan pasukan di zon penyingkiran, Fulham di Stadium Craven Cottage awal pagi esok. – AGENSI