KUALA KRAI – Seramai 14 orang lelaki dicekup sewaktu mereka sedang leka menyabung ayam di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Pok Jelak Bedal di sini semalam.
Dalam serbuan pada pukul 4.45 petang itu, polis menahan semua suspek termasuk seorang lelaki berketurunan Siam berusia dalam lingkungan 30 hingga 74 tahun dalam Ops Dadu (Judi) yang dijalankan di kawasan berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris berkata, sewaktu serbuan dijalankan, semua suspek tidak menyedari kehadiran pasukan polis ke kawasan tersebut.
Katanya, polis menemui 40 ekor ayam laga di dalam sangkar masing-masing yang dipercayai digunakan untuk kegiatan tersebut.
“Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM21,234, lima kelambu ayam, sangkar ayam berdawai besi (2), kerusi lipat (2), kanvas besar (1), kanvas kecil (1) dan sepasang taji ayam.
“Siasatan awal mendapati, mereka melakukan kegiatan menyabung ayam dengan menggunakan wang pertaruhan bernilai RM500 untuk setiap seekor,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Wan Khairuddin, semua suspek kebiasaannya dipercayai datang ke kawasan itu untuk menyabung ayam bermula pukul 2 hingga 7 petang bergantung kepada keaadaan ayam masing-masing.
Katanya, polis mendapati kawasan tersebut turut menyediakan jualan makanan kepada pengunjung yang datang untuk menyaksikan pertarungan itu.
“Berdasarkan siasatan, mereka menjalankan kegiatan itu sejak tiga bulan lalu dan semua pertaruhan untuk kegiatan menyabung ayam itu dibuat secara tunai.
“Polis akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Binatang 1953 dan Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.
Tambahnya, kes itu turut disiasat Perkara 10 Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana melanggar prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat. – K! ONLINE.