KOTA BHARU – Selepas kejadian kebakaran di tapak pelupusan sampah yang berlarutan selama lebih dua minggu di Kok Bedullah, Tumpat bulan lalu, kejadian sama turut berlaku di Jeli kelmarin.
Bagaimanapun, kebakaran di tapak pelupusan sampah di Sungai Mekong itu berlaku pada pukul 9.30 malam dan berjaya dipadamkan sepenuhnya pihak bomba dalam tempoh 24 jam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jeli, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Adni Ibrahim berkata, kebakaran tersebut melibatkan tapak pelupusan sampah seluas 1.6 hektar milik Majlis Daerah Jeli (MDJ).
Menurutnya, usaha memadamkan kebakaran dilakukan oleh 15 anggota bomba dengan bantuan agensi lain termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Majlis Daerah Jeli (MDJ) sendiri.
“Kita menggunakan dua jengkaut MDJ bagi mengalihkan timbunan sampah sebelum usaha pemadaman dijalankan dengan menggunakan sumber air terbuka.
“Kebakaran dipadamkan sepenuhnya pada pukul 5.45 petang semalam dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Sebelum ini, pihak bomba mengambil masa lebih dua minggu bagi memadamkan kebakaran di tapak pelupusan sampah seluas lapan hektar di Kok Bedullah, Tumpat yang terbakar pada 19 Februari lalu.
Kebakaran itu mengakibatkan asap tebal sehingga 23 keluarga berhampiran lokasi kejadian terpaksa mengosongkan rumah masing-masing sebelum ditempatkan di Resort Pantai Sri Tujuh, Tumpat. – K! ONLINE