SEDEKAD menghambakan diri dalam dunia lakonan, Syazwan Zulkifly memiliki reputasi dan profil yang cukup cemerlang sebagai pelakon. Boleh dikatakan dia antara aktor tempatan yang cukup versatil.
Berilah apa sahaja watak, tidak kira baik atau jahat, dia mampu melakonkannya dengan cukup membekas. Sungguhpun begitu, mungkin kerana karakternya secara realiti terlihat kasar, maka watak antagonis sering dilabel dekat dengan dirinya.
Kekerapan melakonkan watak antagonis bagaimanapun langsung tidak pernah membuatkan antusias lelaki berusia 34 tahun itu terhadap dunia lakonan terhakis.
Terbaharu, dia sedang popular dengan watak antagonis bernama Remy dalam drama Angkara Cinta yang ditayangkan menerusi slot Tiara saluran Astro Prima.
Menurut Syazwan, biarpun watak antagonis merupakan ‘makanannya’ dalam gelanggang lakonan, tetapi dia tetap berusaha mencari jalan menyuntik elemen baharu bagi setiap watak yang dilakonkannya supaya penonton tidak berasa bosan.
“Watak Remy mencabar bagi saya. Sebab saya fikir, apa lagi yang kejahatan yang mahu dipersembahkan kepada penonton kerana selama ini mereka sudah terbiasa melihat saya menjadi jahat.
“Namun begitu, saya bersyukur kerana dalam drama ini saya diberi kebebasan untuk mencorakkan sendiri watak Remy. Antaranya, sangat jarang sebenarnya drama tempatan melepaskan babak menghisap rokok untuk tontonan, tetapi dalam drama ini kami diberi kebebasan untuk berkarya supaya kelihatan lebih realistik,” ujar Syazwan.
Tambahnya, mengikut perancangan asal, karya yang merupakan adaptasi daripada drama popular Filipina berjudul Tayong Dalawa tersebut hanya mempunyai 70 episod. Atas sambutan yang menggalakkan daripada penonton, sebanyak 45 episod ditambah menjadikan secara keseluruhannya drama berkenaan bersiaran sebanyak 115 episod.
“Pertambahan episod memberi ruang kepada saya untuk bereksperimen dengan watak Remy yang sudah lima kali bertukar transisi antara baik dan jahat. Jadi, penonton boleh mengharapkan babak fizikal yang lebih banyak.
“Saya sendiri sebenarnya tidak tahu ke mana arah watak Remy, baik atau jahat. Selepas episod 70, perjalanan cerita ini sudah tidak mengikut drama adaptasi, sebaliknya menjadi sebuah naskhah baharu yang ditulis ketika penggambaran sedang berlangsung. Terdapat elemen kejutan di situ, bukan sahaja untuk penonton tetapi buat barisan pelakon juga,” tuturnya.
Menariknya, drama Angkara Cinta lakonannya bersama Hun Haqeem, Meerqeen dan Wanna Ali merupakan naskhah pertama Syazwan untuk siaran Astro selepas namanya dibekukan hampir lima tahun disebabkan kontroversi lampau bersama bekas kekasih yang juga seorang pelakon, Shenty Feliziana.
“Saya sifatkan semua ini sebagai rezeki. Selepas lima tahun nama digantung, saya kembali berlakon untuk siaran Astro dan diberi peluang bekerja dalam drama bersiri yang sangat panjang. Peluang ini saya gunakan untuk memberi lakonan yang terbaik,” ujarnya ringkas.
Cabaran PKP
Selain merupakan drama paling lama menjalani penggambaran iaitu sejak Julai tahun lalu sehingga kini dan masih berbaki sekitar sebulan lebih, kru produksi serta barisan pelakon terpaksa berdepan dengan cabaran tersendiri.
Semuanya kerana beberapa buah negeri berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua pada 13 Januari lalu gara-gara peningkatan kes harian Covid-19.
Keputusan pantas produksi memindahkan set penggambaran dari Kuala Lumpur ke Ipoh, Perak yang ketika itu hanya dikenakan PKP Bersyarat (PKPB) untuk mengekalkan momentum dilihat sebagai tindakan yang bijak walaupun terdapat kesulitan dari segi kesinambungan dalam drama.
“Kami hanya sempat menjalani penggambaran beberapa hari sahaja di Ipoh sebelum Perak turut dikenakan PKP dan penggambaran terpaksa dihentikan. Waktu itu, kru dan barisan pelakon membuat pengorbanan yang sangat besar apabila sepakat untuk kekal di Ipoh.
“Selepas diberi kebenaran untuk melakukan penggambaran secara ‘indoor, kerja kami diteruskan seperti biasa tetapi perlu berfikir secara kreatif. Cara kerja tidak sama sebelum PKP kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti diwajibkan melakukan ujian calitan. Malah penerbit juga berhabis RM15,000 demi memastikan keselamatan semua kru dan pelakon.
“Produksi juga harus memikirkan kesinambungan dalam drama yang sudah tentu berbeza terutama aspek set penggambaran kerana lokasi sudah diubah. Selain itu, rakaman lakonan perlu dihantar menerusi kurier kerana penyunting berada di Kuala Lumpur,” cerita Syazwan panjang lebar.
Di sebalik cabaran dan kesukaran yang terpaksa dihadapi, Syazwan menjelaskan terlalu banyak hikmah buat barisan kru dan pelakon Angkara Cinta.
“Disebabkan terlalu lama menjalani penggambaran bersama iaitu sekitar tujuh bulan tidak termasuk terpaksa berkampung di Ipoh apabila penggambaran terhenti, hubungan antara pelakon dan kru sudah seperti keluarga.
“Kami sudah tidak kisah jika drama ini mahu disambung lebih lama. Kami juga bersyukur saat rakan-rakan lain tiada kerja, kami masih ada rezeki dalam bidang ini. Sebagai pelakon, saya memuji tindakan pantas Michael Ang selaku penerbit. Jika tidak penggambaran terpaksa dihentikan secara total seperti kebanyakan produksi lain,” kongsinya lagi.
Impian
Beralih bicara tentang kehidupan peribadinya, Syazwan mengakui dia tidak kisah untuk terus hidup membujang selepas putus tunang dengan seorang pramugari dikenali sebagai Sya Zulkifli pada 31 Mac tahun lalu.
Menganggap semuanya suratan takdir, dia yang masih berhubungan baik dengan wanita itu enggan menoleh ke episod duka. Luka lama bagaimanapun tidak pernah membuatkan dia serik untuk kembali bercinta andai suatu hari nanti dipertemukan dengan wanita yang benar-benar memikat hatinya.
“Saya tidak terkesan dengan putus tunang, anggap sahaja sudah tiada jodoh. Allah lebih tahu apa yang terbaik buat saya. Sejujurnya, saya tidak serik untuk kembali bercinta. Sebelum berkahwin perlu menjalani proses kenal hati budi, bercinta dan bertunang terlebih dahulu.
“Saya tidaklah terdesak untuk menamatkan zaman bujang dengan segera hanya kerana pernah putus tunang. Keluarga tidak pernah memberi tekanan, jadi saya tidak kisah untuk membujang sampai bila-bila. Jika esok lusa bertemu jodoh, saya akan berkahwin juga,” jelasnya.
Menyentuh tentang hubungan baiknya dengan pelakon Wan Sharmila atau dikenali sebagai Lala, Syazwan memberitahu bahawa mereka masih berhubung sehingga ke hari ini, namun masih dengan status sebagai rakan baik.
“Saya masih suka hubungi dan kacau Lala kalau ada masa terluang. Dia seorang wanita yang baik. Ibu saya juga tahu akan hubungan baik kami berdua. Cuma buat masa ini, kami kekal sebagai kawan baik sahaja.
“Jika mahu berkahwin kelak, saya tiada syarat buat bakal isteri. Cukuplah sekadar ibu suka dan merestui hubungan tersebut serta memahami saya seadanya,” katanya.
Bercakap tentang impian dan masa depan, selepas 10 tahun berkecimpung dalam industri seni, sudah tiba masanya Syazwan memberanikan diri untuk mengorak langkah sebagai seorang ahli perniagaan.
Impiannya mahu memiliki sebuah produksi dan kini sedang berusaha untuk memastikan rancangan tersebut berhasil. Pengalaman sebagai pelakon membuatkan dirinya yakin dengan jalan perniagaan yang dipilih.
“Sampai bila orang akan beri saya tawaran berlakon? Ada kalanya saya juga ingin melakonkan watak tertentu, tetapi jika hanya menunggu tawaran datang, tidak tahu sampai bila saya perlu menunggu.
“Jadi lebih baik buka syarikat produksi sendiri. Kandungan untuk siaran juga telah difikirkan. Cuma perancangannya tertangguh disebabkan PKP. Saya berada di Ipoh berserta dokumen, sedangkan rakan kongsi berada di Kuala Lumpur.
“Selepas PKP tamat, saya akan teruskan projek tersebut. Doakan saya menjadi seorang penerbit yang berjaya suatu hari nanti,” tutupnya yang bakal mengeluarkan produk kopi tambah tenaga bersama pelakon dan pelawak Azad Jasmin tidak lama lagi.