PEMAIN Selangor Angels, Nur Firra Syuhada Hasrin mengakui pasukannya itu dijangka berdepan laluan sukar untuk mencari kemenangan sulung edisi pertama kejohanan Netball Super League (NSL) selepas diundi dalam kumpulan maut.
Pasukan itu diundi dalam Kumpulan B bersama Johor Jewels, Pahang Tulips dan Negeri Sembilan Venom yang rata-rata memiliki pemain kebangsaan.
Bagaimanapun, Nur Firra yakin segalanya mampu berubah kerana pasukannya melakukan persiapan terbaik untuk merebut kemenangan pada kejohanan edisi pertama itu.
“Ini adalah kali pertama kejohanan ini dipertandingkan, jadi sukar untuk jangka pasukan yang terkuat. Secara tradisinya Johor adalah salah satu pasukan yang hebat dan beri saingan sengit.
“Tapi kita perlu ingat pasukan-pasukan lain juga antara yang terhebat dan memberi saingan.
“Misi pasukan Selangor adalah melangkah ke pentas final dan harap mampu direalisasikan dengan bantuan pemain kebangsaan yang pernah ke Sukan SEA.
“Jadi saya yakin Selangor mampu pamerkan aksi terbaik dan kita perlu berhati-hati pada perlawanan pembukaan nanti,” katanya ketika ditemui di Stadium Juara Bukit Kiara semalam.
Sementara itu, Nur Syafazliyana Mohd. Ali yang mewakili KL Wildcats mahu pasukannya mengekalkan status underdog dan tekad mencari kemenangan sulung pada aksi pembukaan pada 19 Mac ini.
“Kami tidak tahu mengenai kekuatan pasukan lain, jadi kami perlu melihat aksi pertama. Pasukan kami juga berdepan masalah untuk berlatih akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, jadi kami perlu cepat mencari keserasian dalam satu pasukan semula.
“Misi pasukan cuma satu iaitu mahu mempamerkan aksi terbaik dan meraih kemenangan pada setiap perlawanan,” ujarnya.