fbpx

RM1 sehelai beg plastik tidak mahal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan. KERAJAAN Turki menyasarkan untuk mengurangkan penggunaan beg plastik dalam kalangan rakyatnya. NOTA TERBITAN KOSMO 19 DISEMBER 2018 RABU MUKA 22 191218K Archived by SUE
MOHD. SYALMIZI
HAMID,
WAKIL PULAU PINANG

PULAU PINANG mengenakan caj RM1 bagi sehelai beg plastik sama ada di pasar raya atau beberapa jenis perniagaan pada Khamis hingga Ahad bermula 1 Januari lalu.

Selain itu, hari tanpa beg plastik turut dilaksanakan di seluruh negeri pada Isnin, Selasa dan Rabu bagi menggalakkan orang ramai tidak menggunakan beg plastik pakai buang.

Rata-rata pengguna di Pulau Pinang juga dilihat selesa mengamalkan gaya hidup baharu dengan membawa beg guna semula setiap kali membeli barang.

Bagaimanapun, masih ada juga segelintir yang merungut mengenai caj berkenaan yang didakwa membebankan mereka.

Jika dilihat dari sudut kesan penggunaannya kepada alam sekitar, RM1 adalah nilai ‘denda’ yang sangat murah atas tindakan kita yang menyumbang kepada pencemaran alam.

Ini kerana, setiap keping beg plastik yang digunakan mengambil masa di antara 10 hingga 1,000 tahun untuk terurai secara semula jadi.

Bahkan, proses peruraiannya juga memberi kesan buruk kerana ia menghasilkan mikroplastik yang menyerap toksin dan me­nyumbang kepada pencemaran.

Jika terlepas ke dalam laut, ­spesies ikan, penyu dan haiwan marin lain akan turut terjejas.

Lebih menyedihkan, biarpun haiwan yang memakannya telah mati dan mereput, namun beg plastik tidak reput bersama, sebaliknya dimakan haiwan lain.

Menurut Persatuan Pembuat-pembuat Plastik Malaysia (MPMA), rakyat kita secara purata menggunakan 300 helai beg plastik setiap tahun atau secara keseluruhannya kira-kira 9 bilion keping di seluruh negara.

Justeru, Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meena Raman berkata, pengguna sepatutnya dikenakan caj lebih mahal berbanding RM1 sebagai usaha menamatkan penggunaan pembungkus plastik pakai buang.

“RM1 tak mahal. Bahkan perlu dinaikkan lagi (harga) supaya kita dapat mengelakkan penggunaan beg plastik.

“Ini kerana, pengguna ada alternatif seperti membawa beg fabrik. Untuk makanan pula, kita perlu menggalakkan orang ramai menggunakan bekas makanan atau mangkuk tingkat,” katanya.

Berdasarkan kajian jurnal Science Magazine pada 2015, Malaysia berada pada tangga kelapan dunia sebagai negara paling te­ruk membuang sampah plastik di belakang China dan Indonesia.

Menurut jurnal itu, negara kita dianggarkan membuang hampir sejuta tan sampah plastik yang tidak diuruskan pada 2010.

Sementara itu, laporan Tabung Alam Sedunia (WWF) tahun lalu menjelaskan, penduduk Malaysia secara individu adalah pengguna beg plastik paling tinggi dalam senarai enam negara termasuk China, Indonesia, Fili­pina, Thailand dan Vietnam.

Menurut laporan itu, setiap individu di negara kita dianggarkan menggunakan 16.8 kilogram (kg) beg plastik setiap tahun.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang, Phee Bon Poh berkata, selepas melaksanakan caj tersebut berbanding 20 sen sebelum ini, negeri ini dilihat berjaya menggalakkan orang ramai mengurangkan penggunaan beg plastik.

“Kita sebenarnya tidak menghalang penggunaan beg plastik, sebaliknya menggalakkan penggunaannya secara berulang kali berbanding dibuang.

“Jika ada yang mendakwa (kerajaan) sekadar mahu mengaut keuntungan, kenapa kita laksanakan hari tanpa beg plastik pada Isnin, Selasa dan Rabu?” katanya baru-baru ini.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI