PARIS – Semangat yang diberikan oleh ketua jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino selepas tamat separuh masa pertama menaikkan motivasi pasukan apabila berjaya menyingkirkan Barcelona daripada kancah Liga Juara-Juara Eropah dengan keputusan agregat 5-2 awal pagi semalam.
Pandangan tersebut disuarakan oleh kapten pasukan, Marquinhos selepas menyaksikan barisan pemain beraksi dengan begitu teruk pada babak pertama yang boleh memberi ruang buat pasukan gergasi La Liga itu meledak satu gol.
Sebagai rekod, PSG memiliki kelebihan 4-1 selepas menang pada aksi pertama di Camp Nou bulan lalu tetapi skuad The Catalan tidak berjaya mempamerkan keajaiban apabila hanya mampu meraih keputusan seri 1-1 pada saingan kedua itu.
Kata Marquinhos, rahsia utama pasukannya kembali mempamerkan aksi memberangsangkan adalah kerana Pochettino memberikan kata-kata pembangkit semangat bahawa pasukan memiliki kualiti untuk menewaskan Barcelona.
“Pada babak pertama kami beraksi dengan teruk kerana kelonggaran benteng pertahanan membuka banyak ruang buat pasukan lawan. Namun, segalanya berbeza pada separuh masa kedua selepas keyakinan yang diberikan oleh jurulatih,” katanya.
Sementara itu, Pochettino enggan mendabik dada sebaliknya lebih berminat untuk memuji aksi yang dipamerkan oleh penjaga gol, Keylor Navas yang berjaya menyelamatkan sepakan penalti yang dilakukan oleh kapten Barcelona, Lionel Messi. – AGENSI