KUALA LUMPUR – Gergasi hoki tanah air, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) membuka saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini dengan langkah kanan selepas berjaya mempertahankan Piala Sumbangsih buat tahun kedua berturut-turut.
Kejayaan hadir selepas UniKL menewaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 4-3 menerusi penentuan penalti shoot-out selepas terikat seri tanpa jaringan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.
Kapten UniKL, Muhammad Marhan Mohd. Jalil muncul wira buat skuad juara treble musim lalu itu selepas berjaya menyempurnakan penalti shoot-out terakhir menewaskan penjaga gol TNB, Muhammad Hairi Abd. Rahman.
Ia secara tidak langsung menyaksikan UniKL kendalian Megat Azrafiq Megat Termizi kini semakin bersemangat memburu dua kejuaraan lagi musim ini iaitu MHL dan Piala TNB sekali gus menyamai pencapaian tahun lalu.
Biarpun ditabalkan sebagai juara Piala Sumbangsih, namun UniKL terpaksa berpuas hati sekadar meraih satu mata bersama-sama TNB selepas seri tanpa jaringan dalam tempoh 60 minit aksi tersebut.
Bagaimanapun, TNB lebih merasai kekecewaan selepas dua jaringan mereka dibatalkan dalam perlawanan itu sekali gus gagal menamatkan kemarau menjulang trofi pertama sejak kali terakhir menjuarai Piala TNB pada 2010.
Ia selepas pengadil membatalkan gol Muhammad Shahril Saabah pada minit ke-40 kerana didakwa memukul bola menggunakan pukulan back stick sebelum jaringan penalti shoot-out penyerang TNB itu turut dibatalkan atas kesalahan yang sama.
TNB berpeluang menebus kekecewaan itu menjelang aksi kedua MHL bertemu Nurinsafi, manakala UniKL dijadualkan berdepan musuh tradisi yang juga pencabar utama musim ini, Pasukan Hoki Terengganu pada Ahad ini. -K! ONLINE