PETALING JAYA – Fasa peralihan monsun di Malaysia dijangka bermula pada 16 Mac ini dan berterusan sehingga pertengahan Mei 2021.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan berkata, permulaan fasa tersebut menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut yang telah bermula sejak 11 November 2020.
Jelas kenyataan itu, semasa fasa peralihan monsun, negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah.
“Keadaan ini amat sesuai untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat beserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.
“Keadaan ini berlaku terutama pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri pantai barat dan pendalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak,” kata kenyataan itu hari ini.
MetMalaysia berkata, keadaan itu juga berpotensi menyebabkan banjir kilat dan kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.
Justeru, orang ramai dinasihati untuk lebih berwaspada dan sentiasa peka dengan ramalan serta amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia. – K! ONLINE