fbpx

[VIDEO] Pasangan kekasih langgar polis didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh Muhammad Asraf (depan) dan kekasihnya Umiezatul Asyikin didakwa di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi di sini hari ini.

BANGI – Sepasang kekasih yang tular menaiki Perodua Alza melanggar anggota polis di parkir sebuah restoran makanan segera Selasa lalu, didakwa di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi di sini hari ini.

Tertuduh Muhammad Asraf Zulkefli, 19, yang didakwa dengan dua pertuduhan mengaku salah  manakala kekasihnya Umiezatul Asyikin Nasrun,20, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan sama bersubahat.

Kedua-duanya membuat pengakuan salah dan tidak bersalah itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Effandi Nazila Abdullah yang bertindak sebagai Majistret.

Mengikut pertuduhan pertama, Muhammad Asraf didakwa telah menyebabkan kecederaan ke atas anggota polis Mohamad Amirul Yahya yang sedang menjalankan tugas di tempat letak kereta sebuah restoran makanan segera Seksyen 9, Bandar Baru Bangi di sini pukul 10.30 malam pada 9 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang memperuntukkam hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, Muhammad Asraf didakwa telah melakukan khianat dengan sengaja merosakkan handle bar, ekzos, rim sukan (sport rim) dan nombor pendaftaran belakang motosikal milik anggota polis sama sehingga menyebabkan kerugian RM1,060 pada waktu, tarikh dan tempat sama yang didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Umiezatul Asyikin turut didakwa atas dua pertuduhan sama yang mana kesalahan tersebut telah dilakukan hasil daripada persubahatan yang didakwa mengikut seksyen 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman yang sama.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Muhd. Fauzan Mohd. Nor menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh Muhammad Asraf sementara menunggu laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan jumlah sama turut ditawarkan kepada Umiezatul Asyikin.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 12 April ini untuk sebutan semula kes.

Kelmarin media melaporkan tindakan sepasang kekasih melanggar anggota motosikal peronda ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan di kawasan parkir restoran makanan segera, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi di sini, awal pagi ini mengundang padah apabila mereka akhirnya ditahan.

Dalam kejadian itu menyebabkan seorang anggota cedera ringan selepas dilanggar pasangan berusia 20 tahun dan 19 tahun berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pada awalnya, sepasukan anggota dari Balai Polis Baru Bangi sedang melakukan rondaan di kawasan terbabit kira-kira pukul 10.30 malam sebelum mereka terserempak sebuah kereta dengan enjin dihidupkan dalam keadaan mencurigakan di kawasan parkir itu.

Anggota terbabit menghampiri kereta berkenaan dan cuba membuat pemeriksaan dengan menyuluh serta mengetuk cermin kereta itu yang mana terdapat seorang lelaki dan wanita.

Sejurus selepas pasangan ini mengetahui kehadiran polis dan diarahkan keluar, lelaki itu terus memandu kereta dan cuba melarikan diri dengan melanggar motosikal serta seorang anggota yang berada di hadapan kereta berkenaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI